Lebih 50 pempamer terlibat

Karnival Pendidikan Sinar Bestari berlangsung pada 8 hingga 10 September depan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari berlangsung pada 8 hingga 10 September depan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf.
A
A
A

SHAH ALAM - Karnival Pendidikan Sinar Bestari merupakan medan pertemuan paling tepat antara warga sekolah, ibu bapa, komuniti dan pemain industri untuk sama-sama berkongsi pandangan dan pendapat dalam bidang masing-masing.

Pengurus Besar Jualan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin berkata, peluang itu perlu dimanfaatkan sepanjang karnival berlangsung pada 8 hingga 10 September depan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini.

“Inilah titik pertemuan yang saya rasa begitu bersesuaian untuk pempamer bertemu dengan orang ramai terutamanya generasi muda dalam mengembangkan lagi lapisan pengguna baharu untuk jangka masa panjang.

“Selain itu, pempamer juga berpeluang mendapatkan pengalaman dan pendedahan baharu mengenai kehendak serta keinginan generasi muda yang mungkin tidak pernah terfikir oleh mereka sebelum ini,” katanya pada Ahad.

Mengulas lanjut, Airol Fadley berkata, lebih 50 pempamer daripada industri pembuatan seperti makanan dan minuman; pendidikan, perbankan, peruncitan, robotik, produk kesihatan serta pengkomputeran atau teknologi akan terlibat sepanjang tiga hari karnival berlangsung.

Airol Fadley
Airol Fadley

Katanya, pempamer terlibat akan menyediakan pengisian dan aktiviti berbentuk pendidikan fizikal serta digital kepada pengunjung.

Beliau berkata, antara pemain industri yang mengisi reruai karnival kali ini ialah Bank Rakyat, KDEB Waste Management (KDEBWM), Kementerian Pendidikan (KPM), Israk Solutions Sdn Bhd, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Yayasan Selangor, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Kolej Risda, AirAsia Academy, Petrosains dan zoo mini Farm In The City.

Artikel Berkaitan:

“Turut serta, AEON BiG Sdn Bhd (AEON BiG), Bank Muamalat, Bank Simpanan Nasional, Co-opbank Pertama (CBP), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Farm Fresh Selangor, Wardah dari Pharmacore Technology & Innovation dan juga Able Perfect Sdn Bhd yang bakal memeriahkan karnival ini.

“Saya kira inilah masa sesuai untuk pemain industri mempromosi kelebihan produk kepada pengunjung, mengumpul data sekali gus mendekati kehendak masyarakat masa kini,” katanya.

Selain pembabitan pempamer, Airol Fadley berkata, Karnival Pendidikan Sinar Bestari akan menyajikan aneka makanan berkonsepkan kenegerian dan tradisional menerusi SinarPlus Makan Fest.

Katanya, beberapa food truck seperti Coconut Shake, Milo, Starbucks, Yakult, Paksu Kuey Teow dan Takoyaki & Corndog turut disediakan untuk pengunjung.

Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang bermula jam 9 pagi hingga 7 malam yang dianjurkan oleh Sinar Harian, Sinar Bestari dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor merupakan Karnival Pendidikan terbesar di negeri Selangor.

Selain penglibatan lebih 50 pempamer, karnival turut menampilkan pelbagai pertandingan untuk disertai pelajar sekolah rendah dan menengah.

Antara pertandingan yang boleh disertai ialah kawad kaki, koir, dikir barat, Sinar Bestari Got Talent, pidato, crossword puzzle, bercerita Sirah Nabi, robotik, penglipur lara, E-Sukan, cerpen, bicara berirama dan Kids Quran Hour.

Selain itu, reruai uji bakat TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) yang memberi pelbagai pendedahan dalam dunia penyiaran dan kewartawanan turut dibuka kepada pelajar yang ingin mencungkil bakat dan kebolehan dalam bidang itu.

Pada masa sama, aktiviti seperti rumah hantu, mini zoo, menunggang kuda, jualan Rahmah dari FAMA turut diketengahkan kepada pengunjung pada karnival kali ini.