Harimau Muda mahu menang setiap perlawanan - Tierney

Tierney percaya Harimau Muda mampu melangkah jauh dalam kejohanan AFF kali ini.
Tierney percaya Harimau Muda mampu melangkah jauh dalam kejohanan AFF kali ini.
A
A
A

SKUAD Harimau Muda tekad mengekalkan momentum kemenangan selepas kejayaan menundukkan juara Sukan SEA, Indonesia dalam aksi Kumpulan B Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Stadium Rayong Provincial, Thailand pada Jumaat.

Penyerang muda negara, Fergus Tierney berkata, Harimau Muda akan terus berjuang sedaya upaya untuk memenuhi sasaran mara ke final dan menjuarai kejohanan tersebut.

"Kita nak menang. Setiap perlawanan kita nak menang dan mahu jadi juara. Kita mahu terus melangkah ke hadapan," katanya selepas perlawanan.

Tierney yang masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua muncul wira apabila meledak dua gol untuk memastikan langkah kanan Harimau Muda dalam kejohanan itu.

Dalam pada itu, pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II) itu juga mengakui taktikal yang direncana pengendali E Elavarasan untuk memasukannya pada babak kedua membuahkan hasil.

"Dari permulaan (apabila diundi dalam kumpulan) bersama Indonesia dan Timor Leste akan jadi kumpulan yang sukar. Tetapi, saya dan pemain percaya dengan pasukan dan akhirnya kita berjaya meraih kemenangan ini.

"Sebelum perlawanan jurulatih beritahu saya bahawa saya perlu bersedia untuk masuk pada separuh masa kedua untuk berikan impak kepada bahagian serangan.

"Jurulatih mempunyai perancangan yang baik dan ternyata keputusan terbabit adalah idea yang bagus dan menjadi pada perlawanan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan ke atas Indonesia itu meletakkan Harimau Muda di kedudukan teratas Kumpulan B dan dijadualkan menentang Timor Leste pada aksi terakhir pada Selasa ini.