Malaysia tidak berdepan kemelesetan - Ahli Ekonomi

Pertumbuhan KDNK suku kedua Malaysia adalah sebanyak 2.9 peratus. - Gambar hiasan
Pertumbuhan KDNK suku kedua Malaysia adalah sebanyak 2.9 peratus. - Gambar hiasan
A
A
A

PERTUMBUHAN Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua Malaysia sebanyak 2.9 peratus mencerminkan "kelembapan kitaran perniagaan” dan bukan menunjukkan akan berlaku kemelesetan, yang sejajar dengan trend global, kata ahli ekonomi.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi, Lee Heng Guie berkata, kadar pertumbuhan yang perlahan telah dijangka secara meluas dan tidak dapat dielakkan berdasarkan kesan asas lebih tinggi yang rendah dari suku kedua 2022 apabila KDNK berkembang pada 8.9 peratus dan dalam situasi persekitaran luaran semasa yang lemah.

"Pada asasnya, kita masih positif. Walaupun penggunaan perlahan kepada 4.3 peratus (pada suku kedua 2023), pasaran buruh kita masih stabil dengan kadar pengangguran terus menurun kepada 3.4 peratus (pada Jun), dengan penurunan inflasi keseluruhan dan gaji yang naik meningkatkan kuasa beli pengguna,” katanya kepada Bernama.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, data KDNK terkini adalah di bawah jangkaan dan ekonomi Malaysia jelas terdedah kepada kelembapan luaran.

Beliau berkata, penurunan mendadak eksport dan import sebenar, masing-masing kepada -9.4 peratus dan -9.7 peratus, menjadi faktor utama kepada pertumbuhan perlahan pada suku kedua.

"Oleh itu, permintaan domestik akan menjadi pemacu utama pertumbuhan pada separuh kedua tahun ini.

"Asas untuk KDNK separuh kedua 2022 adalah tinggi berikutan ekonomi berkembang pada 14.1 peratus pada suku ketiga 2022 dan 7.7 peratus pada suku keempat 2022,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 2.9 peratus pada suku kedua 2023, disokong oleh pasaran buruh yang bertambah baik, peningkatan berterusan dalam permintaan domestik dan kegiatan pelancongan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia menjadi sederhana pada suku itu sebahagiannya disebabkan oleh permintaan luaran yang lebih perlahan susulan kitaran teknologi global, pengeluaran komoditi lebih rendah dan kesan asas lebih tinggi dari suku kedua 2022.

Mengenai masa depan, Mohd Afzanizam berkata, berdasarkan pengguna dijangka berhati-hati dalam perbelanjaan mereka, KDNK mungkin berkembang lebih perlahan pada separuh kedua tahun ini.

Justeru, katanya risiko bahawa KDNK Malaysia mungkin berkembang di bawah unjuran pertumbuhan 4.0 hingga 5.0 peratus adalah agak tinggi.

"Bagaimanapun, (pemulihan) sektor berkaitan pelancongan, bersama-sama dengan pelaksanaan projek infrastruktur akan mengimbangi pertumbuhan global yang lemah.

"Oleh itu, kami percaya dasar monetari akan terus kekal akomodatif,” katanya, sambil menyatakan Bank Muamalat mengekalkan saranannya supaya kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada 3.0 peratus sepanjang tahun ini.

Heng Guie berkata, baki suku tahun 2023 akan mencabar berdasarkan kesan asas yang lebih tinggi berbanding 2022.

Katanya bagi mencapai julat yang lebih rendah sebanyak 4 peratus daripada sasaran KDNK yang ditetapkan pada tahun ini, ekonomi perlu berkembang sekurang-kurangnya antara 3.5 peratus dan 4.5 peratus untuk baki suku tahun.

Kedua-dua ahli ekonomi tersebut bersetuju bahawa inisiatif kerajaan dan pelaksanaan perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan untuk 2023 perlu dipercepatkan untuk memastikan kesan pengganda kepada ekonomi, sekali gus memastikan pemulihan dan pertumbuhan yang lebih kukuh pada tahun depan. - Bernama