Keprihatinan Johari dikenang pengamal media: Jasmi Faisal

Allahyarham Johari (tengah) bersama Jasmi Faisal (lima dari kanan) dan ketua-ketua biro pelbagai agensi di Pahang ketika mengadakan pertemuan kali pertama baru-baru ini.
Allahyarham Johari (tengah) bersama Jasmi Faisal (lima dari kanan) dan ketua-ketua biro pelbagai agensi di Pahang ketika mengadakan pertemuan kali pertama baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Pemergian Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, petang Khamis, akan dikenang sebagai pemimpin yang prihatin dan cakna terhadap pengamal media di Pahang.

Pemangku Presiden Kelab Media Pahang, Jasmi faisal Muda menjelaskan walaupun Allahyarham tidak menggalas jawatan sebagai Exco Komunikasi negeri, namun beliau menjalinkan hubungan baik dengan pengamal media selepas dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Menurutnya, Allahyarham adalah individu pertama mengadakan pertemuan bersama ketua biro di Pahang dan bersedia untuk memberikan kerjasama penuh kepada media berhubung isu rakyat di negeri ini.

"Secara peribadi Allahyarham memang seorang cukup baik, pemurah, mudah untuk didekati.

"Malah, Allahyarham bukan hanya seorang pemimpin yang memahami rakyat di peringkat akar umbi tetapi turut mengambil berat perihal kami pengamal media dan sebarang masalah kami boleh merujuk terus kepada beliau," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Jasmi Faisal
Jasmi Faisal

Jasmi Faisal memaklumkan antara tindakan yang sukar untuk dilupakan apabila Allahyarham merekodkan semua tarikh lahir pengamal media khsusnya wartawan di lapangan.

Ujarnya, kad ucapan dan kek akan dihantar terus kepada agensi media sebagai tanda ingatan dan penghargaan.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak boleh lupa, satu benda yang simple tapi bagi saya beri kesan yang cukup mendalam kepada kami walaupun Allahyarham masih baharu dilantik sebagai pemimpin tertinggi negeri," katanya.

Beliau yang mewakili pengamal media di Pahang merakamkan takziah kepada seluruh pada keluarga Allahyarham dan mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.

"Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang beriman dan amal soleh.

"Yang pasti kehilangan Allayarham memberi satu kesan yang besar pada kami, kehilangan pemimpin yang dekat dihati kami," jelasnya mengakhiri perbualan.

Pada Khamis Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 lelaki maut dalam kejadian itu.

Antara nama yang terdapat dalam senarai penumpang ialah Johari, 53.

Lapan daripada yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Ketika kejadian pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada jam 2.48 petang.