90 peratus kes buli, gangguan seksual selesai kurang 15 hari - KPM

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Lebih 90 peratus kes aduan buli dan gangguan seksual di institusi pendidikan berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 15 hari, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan telah diarahkan untuk mematuhi tahap kesegeraan penyampaian maklumat dan laporan serta tindakan berkaitan buli dan gangguan seksual kepada KPM berdasarkan Prosedur Operasi Standard ditetapkan iaitu pada kadar 1:3:7 hari.

"KPM sentiasa proaktif dalam menangani kes buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan di bawah KPM bagi menjamin ekosistem selamat untuk guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan," menurut kenyataan itu.

KPM juga sedang memuktamadkan garis panduan menangani isu buli dan gangguan seksual dan Peraturan Disiplin Murid yang baharu dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi menggantikan Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah 1959).

Menurut KPM, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan penguatkuasaan peraturan sedia ada seperti yang terdapat dalam surat siaran kementerian, surat pekeliling ikhtisas dan garis panduan berkaitan.

Antaranya kempen kesedaran mengenai kesan buli dan gangguan seksual terhadap mangsa di media, program pendidikan mengenai bahaya buli dan gangguan seksual dilaksanakan secara bersepadu melibatkan aspek kurikulum, kokurikulum serta pembinaan sahsiah, dan amalan sekolah penyayang, menurut kenyataan itu.

"Turut dilaksanakan ialah intervensi kepada mangsa buli serta kerjasama strategik dengan semua pihak terutamanya dengan agensi penguat kuasa bagi memastikan isu buli dan gangguan seksual dapat ditangani dengan lebih efektif,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPM, terdapat tiga saluran yang boleh digunakan oleh orang ramai termasuk pihak sekolah dan ibu bapa untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes buli dan gangguan seksual.

Saluran tersebut adalah melalui talian khas aduan buli (03-88849352), e-mel (adubuli@moe.gov.my) atau aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPA) KPM yang tersedia di portal aduan itu

Artikel Berkaitan:

Maklumat aduan buli dan gangguan seksual boleh diakses melalui Portal Aduan Buli KPM di https://www.moe.gov.my/aduanbuli. - Bernama