"Tukar bendera parti kepada Jalur Gemilang" - Fahmi Fadzil

SEREMBAN - Semua pihak diseru mencabut bendera parti masing-masing dan mula mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan Kemerdekaan ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) telah pun berakhir dan kini adalah waktunya untuk semua masyarakat mengorak langkah kehadapan.
"Di Negeri Sembilan ini, kita baharu saja selesai proses PRN dan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam (Rabu), Perdana Menteri mengingatkan yang politik telah selesai dan marilah kita bersama sebagai sebuah negara dan maju ke depan.
"Jadi kita tukar, dulu kita angkat bendera parti dan sekarang kita angkat bendera Malaysia. Saya harap bukan saja Mydin tapi lebih ramai pihak lain bersama-bersama kibarkan Jalur Gemilang," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Semarak Gemilang Malaysia Madani di Pasar Raya Mydin Seremban 2 di sini pada Khamis.