Ronaldo ubah Liga Pro Saudi

Neymar
Neymar
A
A
A

PENYERANG baharu Al-Hilal, Neymar menyifatkan Cristiano Ronaldo sebagai pemain yang bertanggungjawab melonjakkan Liga Pro Saudi ke tahap berbeza termasuk menjadi contoh untuk pemain bintang menyertai liga tersebut.

Neymar menandatangani kontrak dua tahun dengan kelab yang berpangkalan di Riyadh itu pada Selasa selepas menghabiskan enam tahun bersama Paris St Germain dalam perjanjian yang dilaporkan bernilai kira-kira €90 juta (RM453 juta).

Ronaldo, pemenang lima kali Ballon d'Or, menyertai Al-Nassr pada Disember dengan kontrak dua setengah tahun.

“Saya percaya Cristiano Ronaldo memulakan semua ini dan semua orang memanggilnya 'gila'. Hari ini anda melihat liga semakin berkembang," katanya.

Liga Pro Saudi telah melabur lebih €600 juta untuk memikat ramai pemain dan jurulatih terkemuka dari kelab Eropah.

Rekrut terkenal termasuk pemenang Ballon d'Or Karim Benzema dari Real Madrid, kapten Liverpool, Jordan Henderson dan Riyad Mahrez dari Manchester City.

“Ia sangat mengujakan, bertemu pemain berkualiti tinggi dalam pasukan lain menggembirakan anda dan mendorong anda untuk bermain dengan lebih baik. Sudah tentu apabila anda berdepan Ronaldo, Benzema, (Roberto) Firmino, keseronokan itu lebih hebat,” katanya.

Al-Hilal melantik semula jurulatih Portugis Jorge Jesus dengan kontrak setahun dan menandatangani bekas kapten Wolverhampton Wanderers Ruben Neves, Sergei Milinkovic-Savic dari Serbia, pemain pertahanan Senegal Kalidou Koulibaly dan penyerang Brazil Malcom.

Artikel Berkaitan:

“Saya fikir ia sangat penting untuk mempunyai kualiti dalam skuad. Jelas sekali, ia membantu dalam beberapa keputusan yang anda ambil sepanjang kerjaya anda. Ia sememangnya untuk saya.

"Saya sangat teruja untuk menulis cerita baharu mengejar semua objektif bersama kelab dan rakan sepasukan saya - memenangi lebih banyak gelaran dan memenuhi cita-cita kelab," katanya.

Al-Hilal menjadi tuan rumah kepada Al-Feiha dalam perlawanan seterusnya Liga Pro Saudi pada Sabtu.