Suspek pecah kedai, larikan wang dalam peti besi ditahan

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Polis menahan seorang lelaki di Rawang, Selangor selepas dipercayai terlibat dalam kejadian pecah kedai serbaneka di dua lokasi berasingan di sini pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, lelaki berusia 42 tahun itu di tahan pada Rabu kira-kira jam 8.40 pagi oleh sepasukan polis bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Seremban.

"Penangkapan suspek susulan dua laporan polis yang dibuat oleh dua penyelia stor berusia 24 dan 25 tahun kedai serbaneka di Bandar Seremban dan Senawang selepas mendapati pintu utama premis berkenaan telah dipotong.

"Peti besi dalam premis itu telah ditebuk, wang di dalamnya milik kedua-dua kedai iaitu RM17,000 dan RM8,000 lesap membabitkan kejadian antara jam 5 hingga 7.30 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, selain penahanan suspek polis turut merampas sebuah kereta serta peralatan pecah rumah yang disyaki digunakan dalam kejadian tersebut, beberapa barang kes yang dipercayai jenayah itu juga ditemui dalam milik suspek.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau dan dua rekod jenayah masih dikehendaki.

"Suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut, dengan penangkapan ini pihak polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes pecah kedai di kawasan Seremban dan satu kes curi kenderaan di Klang, Selangor," katanya.

Artikel Berkaitan: