Neymar lengkapkan perpindahan ke Al-Hilal

Neymar (kiri) bersama Presiden Al-Hilal, Fahad bin Nafel selepas menandatangani kontrak bersama pasukan itu. - Foto AFP
Neymar (kiri) bersama Presiden Al-Hilal, Fahad bin Nafel selepas menandatangani kontrak bersama pasukan itu. - Foto AFP
A
A
A

NEYMAR telah melengkapkan perpindahan ke pasukan Arab Saudi, Al Hilal selepas enam tahun bersama kelab gergasi Perancis, Paris St Germain (PSG).

Penyerang Brazil itu menandatangani kontrak selama dua tahun dan mengikut jejak langkah beberapa pemain terkemuka dunia seperti Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan Sadio Mane menukar perjalanan karier dari Eropah ke Timur Tengah.

“Saya telah mencapai banyak kejayaan di Eropah dan menikmati masa istimewa, tetapi saya sentiasa mahu menguji diri saya dengan cabaran dan peluang di tempat baharu.

“Saya mahu menulis sejarah sukan baharu dan Liga Pro Saudi mempunyai suasana yang luar biasa serta pemain berkualiti pada masa ini.

“Al-Hilal adalah kelab gergasi dengan peminat yang hebat, dan ia adalah pasukan yang terbaik di Asia. Ini memberikan gambaran bahawa ia adalah keputusan yang tepat untuk berpindah ke sini," katanya.

Neymar menyertai PSG dari Barcelona pada 2017 dengan perpindahan rekod dunia sebanyak 222 juta euro (RM1.12 bilion), beberapa minggu sebelum mereka merekrut Kylian Mbappe.

Pemain Brazil itu menjaringkan 118 gol dalam 173 perlawanan untuk PSG, memenangi lima kejuaraan Ligue 1 dan tiga Piala Perancis, namun dibelenggu dengan beberapa masalah kecederaan.

Neymar menjalani pembedahan buku lali kanannya pada awal Mac dan hanya kembali menyertai PSG dalam jelajah pramusim mereka di Asia baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, dia tidak lagi berada dalam perancangan jurulatih PSG, Luis Enrique sekali gus dikaitkan dengan perpindahan ke Al-Hilal dan akan menerima 100 juta euro (RM505 juta) semusim.

“Ia sentiasa sukar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pemain hebat seperti Neymar yang juga salah seorang pemain terbaik di dunia.

“Saya tidak akan lupa hari dia tiba di PSG dan apa yang dia telah sumbangkan kepada kelab kami sepanjang enam tahun lepas. Kami mempunyai detik yang hebat dan Neymar akan sentiasa menjadi sebahagian besar dalam sejarah kami,” kata presiden PSG Nasser Al-Khelaifi dalam satu kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Riyadh gamit Neymar

Liga Pro Saudi gamit Neymar