[VIDEO] Nassuruddin angkat sumpah sebagai MB Kelantan

A
A
A

KOTA BHARU - Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud sah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu selepas mengangkat sumpah untuk jawatan itu di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri Kubang Kerian di sini pada Selasa.

Hadir sama Tengku Mahkota, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra.

Pelantikan itu sekali gus menamatkan teka-teki siapa yang akan dilantik selepas Menteri Besar sebelum ini Datuk Ahmad Yakob memutuskan untuk berundur akibat masalah kesihatan.

Mohd Nassuruddin mengangkat sumpah pada jam 5.56 petang sebagai MB ke-19 Kelantan pada Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Wakil rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti itu dilantik selepas Pas yang mengetuai gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang 43 daripada 45 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Pada PRN itu, Mohd Nassuruddin yang merupakan penyandang kerusi DUN Meranti berjaya mempertahankan kawasan itu apabila menang dengan mojoriti 9,154 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Zahri Omar.

Mohd Nassuruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu Kelantan di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri Kubang Kerian, Kota Bharu pada Selasa.
Mohd Nassuruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu Kelantan di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri Kubang Kerian, Kota Bharu pada Selasa.

Panglima Perang Pas Kelantan itu memperoleh undian sebanyak 13,260 sementara Zahri 4,106 undi.

Artikel Berkaitan:

Dilahirkan pada 4 Oktober 1965, Mohd Nassuruddin yang berpendidikan Universiti Al-Azhar menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti bermula tahun 1995 hingga kini.

Pada tahun 2005 hingga 2008, beliau dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Kelantan sebelum naik pangkat pada penggal 2008 hingga 2013 sebagai Speaker.

Selepas itu dilantik sebagai Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohd Nassuruddin daripada Pas mengekalkan kemenangan dengan mendapat 10,318 undian ketika menentang Ahmad Anuar Husin daripada BN yang mendapat 4,218 undi.

Mohd Nassaruddin menang dengan majoriti undi sebanyak 6,100.

Sementara itu, ADUN Temangan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan turut mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan bagi penggal ke -15.