PRK: PH, BN Johor bincang strategi pastikan kemenangan

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perbincangan bersama Barisan Nasional (BN) Johor sedang diadakan Pakatan Harapan (PH) negeri sebagai persediaan berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, pada 9 September depan.

Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, strategi berkesan diperlukan kerana PH Johor mahu mengekalkan kemenangan di kedua-dua kerusi tersebut.

"Perbincangan antara PH Johor dengan BN Johor sedang dijalankan atas semangat 'Perpaduan Bawa Rahmah'.

"PH Johor tidak akan mengambil mudah terhadap dua pilihan raya ini dengan segala strategi akan diperhalusi bagi memastikan kemenangan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading memberitahu satu Jawatankuasa Induk Jentera Pilihan Raya dibentuk hasil daripada mesyuarat Majlis Pimpinan PH Johor pada di Kangkar Pulai pada malam Isnin.

Katanya, mesyuarat itu turut dihadiri Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

"Saya akan mengetuai jawatankuasa tersebut sebagai persediaan bagi mendepani dua pilihan raya berkenaan.

"Ketiga-tiga parti komponen PH, telah menyatakan komitmen sepenuhnya bagi menggerakkan jentera pilihan raya itu dan menyatakan iltizam serta tekad mengekalkan kemenangan calon PH di kedua-dua kerusi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menambah PH Johor menyedari legasi 'Rahmah', kerja keras dan tanda aras terbaik yang telah ditinggalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sepanjang perkhidmatannya sebagai wakil rakyat serta anggota kabinet kerajaan.

"Beliau selayaknya diingati sebagai seorang negarawan yang budiman, berperibadi mulia dan sentiasa komited membangunkan Malaysia yang lebih sejahtera.

"Oleh itu, PH Johor akan bekerja keras berhadapan dua pilihan raya ini bagi meneruskan legasi cemerlang ditinggalkan Allahyarham," katanya.