JIPS siasat insiden anggota polis bertindak kasar

Laporan Sinar Harian sebelum ini. Gambar kecil: Azri
Laporan Sinar Harian sebelum ini. Gambar kecil: Azri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan insiden kekasaran didakwa dilakukan seorang anggota polis di hadapan pintu masuk sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di pantai timur, Jumaat lalu.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, siasatan dijalankan termasuk dari segi sekiranya terdapat sebarang unsur sama ada jenayah atau tatatertib.

"Sekiranya ada unsur jenayah, maka ia akan disiasat mengikut sudut jenayah sehingga membawa kepada pertuduhan berbeza dengan kesalahan tatatertib di mana mereka boleh dikenakan tindakan seperti surat amaran, denda termasuk buang kerja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur serta Pengerusi Perkep Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Kuala Lumpur, di sini pada Isnin.

Kata Azri, pihaknya sama sekali tidak berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang dilakukan oleh anggota atau pegawai.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana melibatkan mana-mana salah laku tetapi orang ramai juga perlu adil kepada polis di mana kita akan buat yang terbaik," katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, siasatan akan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelas beliau, siasatan kes itu bukan sahaja akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan malahan siasatan dalaman turut akan dijalankan oleh pihak JIPS.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan berlaku satu kejadian kekasaran di hadapan pintu masuk sebuah IPD di pantai timur.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, insiden tersebut berlaku di sebuah negeri di pantai timur.