Bukan masa untuk protes, Pas gesa pengundi mengundi

Takiyuddin dan kenyataan media yang dikeluarkan Pas pada Sabtu
Takiyuddin dan kenyataan media yang dikeluarkan Pas pada Sabtu
A
A
A

SHAH ALAM - Pengundi digesa agar segera melaksanakan tanggungjawab mereka kerana kini bukan masa untuk menunjukkan protes terhadap proses pilihan raya atau cubaan merosakkan undi.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, ia susulan laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di mana peratusan keluar mengundi sangat rendah.

Menurutnya, perkara itu seharusnya tidak berlaku dan mengharapkan semua ahli dan penyokong Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan (Gerakan) untuk turun mengundi.

“Setiap undi anda adalah penting dan dikira. Ini bukan masanya untuk menunjukkan protes terhadap proses pilihan raya atau cubaan merosakkan undi kerana kita tidak seharusnya membiarkan keadaan sekarang berterusan.

“Dengan tidak memilih pihak mana yang hendak disokong atau dengan tidak mengundi, ia secara tidak langsung kita telah menidakkan hak kita sebagai rakyat Malaysia.

“Keluar dan pangkah lah,” tegas beliau dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri setakat jam 3 petang memaklumkan, di Terengganu adalah sebanyak 63 peratus diikuti Terengganu iaitu 63 peratus manakala Pulau Pinang (60 peratus).

Menurut SPR, di Selangor (58 peratus), Negeri Sembilan (56 peratus) dan Kelantan (51 peratus), manakala bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu jumlah keluar mengundi adalah 59 peratus.

Artikel Berkaitan:

Tambah Takiyuddin, waktu mengundi juga tidak terikat di mana pengundi boleh melaksanakan tanggungjawab mereka pada bila-bila masa mengikut waktu yang ditetapkan iaitu antara jam 8 pagi sehingga 6 petang.