Tetap bersemangat mengundi walau berkerusi roda

Ermanmauri (kanan) dan adiknya selesai mengundi pada Sabtu.
Ermanmauri (kanan) dan adiknya selesai mengundi pada Sabtu.
A
A
A

JELEBU - Seorang lelaki dari Ulu Klawang di sini tidak mahu menjadikan kekurangannya yang terpaksa berkerusi roda sebagai alasan untuk tidak menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya negeri (PRN) ini.

Ermanmauri Abu Zarin, 38, mengalami kecederaan pada bahagian kaki sehingga tidak mampu lagi bergerak akibat kemalangan pada 2019 semasa menunggang motosikal ke tempat kerja.

Menurut Ermanmauri, dia dibantu adiknya, Ebby Kusmady, 34, untuk membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Klawang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang pada pagi Sabtu.

"Saya tetap akan keluar mengundi kerana itu tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia apatah lagi saya pernah menjadi ketua jentera parti di kampung.

"Ketika itu, saya turut mengajak penduduk untuk keluar mengundi dan membantu mereka yang berkerusi roda untuk dihantar ke pusat pengundian," katanya.

Ermanmauri berkata, tidak mahu kecacatan ini menjadi alasan untuk tidak mahu mengundi sedangkan adiknya sanggup pulang dari Kuala Terengganu memandu sejauh 480 Kilometer sehala untuk pulang mengundi.

Sementara itu, Ebby Kusmady pula berkata, sudah menjadi tanggungjawabnya mengundi dan sanggup pulang ke Jelebu untuk tujuan tersebut.

"Saya pulang seorang diri sahaja disebabkan isteri pengundi di Kuala Terengganu, saya sampai di Kuala Klawang pagi semalam dan esok akan pulang semula ke sana.

Artikel Berkaitan:

"Lagi pun saya dapat temankan abang untuk mengundi bersama-sama," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!