Keluar mengundi bawa suara rakyat

Pilihan raya di enam negeri itu akan menentukan masa depan 58 kerajaan iaitu enam kerajaan negeri dan 52 kerajaan tempatan. Gambar kecil: Thomas FANN
Pilihan raya di enam negeri itu akan menentukan masa depan 58 kerajaan iaitu enam kerajaan negeri dan 52 kerajaan tempatan. Gambar kecil: Thomas FANN
A
A
A

SHAH ALAM - Amat penting untuk semua pengundi yang layak mengundi menjalankan tanggungjawab mereka pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu bagi menyatakan dan membawa suara rakyat.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Thomas Fann Peng Tong berkata, sebagai rakyat, mereka harus mengundi dan memilih pemimpin yang lebih baik supaya dapat meningkatkan kualiti hidup.

Katanya, pilihan raya di enam negeri itu akan menentukan masa depan 58 kerajaan iaitu enam kerajaan negeri dan 52 kerajaan tempatan.

“Kerajaan negeri berperanan melantik kerajaan tempatan. Oleh itu, ia terlalu penting untuk kita keluar mengundi.

“Ramai yang melihat ini sebagai referendum mengenai PMX (Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim) sama ada anda menyokongnya atau tidak, anda harus menyatakan suara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sabtu adalah hari pengundian bagi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan, selain Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Secara keseluruhannya, seramai 9,674,456 pengundi bakal mengundi di PRN di enam negeri manakala PRK Parlimen Kuala Terengganu melibatkan seramai 122,160 pengundi.

Dalam pada itu, ditanya mengenai amaran hujan lebat dan ribut petir di beberapa negeri yang terlibat dengan PRN, Thomas Fann menasihati orang ramai supaya merancang waktu pergi mengundi dan tidak menunggu sehingga petang jika cuaca di kawasan mereka baik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, hari terakhir berkempen pada Jumaat menyaksikan beberapa pengumuman dibuat beberapa pemimpin.

Ini termasuklah pengumuman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang Isnin sebagai cuti peristiwa jika gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang dalam PRN pada hari ini.

Selain itu, Pas turut membuat pengumuman mengejutkan, rakyat Kelantan akan mendapat Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar baharu sekiranya parti itu menang di Kelantan.