Setiausaha Wanita DAP Selangor bebas tuduhan buat bising

Komplek Mahkamah Kuala Lumpur.
Komplek Mahkamah Kuala Lumpur.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret di sini pada Khamis melepas dan membebaskan Setiausaha Wanita DAP Selangor, Nalina Nair Rama Krishnan dan seorang wanita yang sedang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) daripada pertuduhan berkelakuan tidak senonoh dengan membuat bising di sebuah balai polis di sini, dua tahun lepas.

Majistret Nadia Othman membebaskan Nalina Nair, 34, dan Sujatra Jayaraj, 39, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pendakwaan.

"Mahkamah dengan ini memutuskan kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri daripada pertuduhan ini," kata Nadia.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di lobi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, pada 9 malam, 19 Ogos 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Artikel Berkaitan:


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafiezah Mohamed Fauzi manakala Nalina Nair dan Sujatra masing-masing diwakili peguam Farida Mohammad dan V Yoges.

Seramai lima saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan bermula 5 Disember 2022. - Bernama