Putra pertimbangkan sertai PH atau BN

Ibrahim (lima dari kiri) menunjukkan logo Parti Putra bersama barisan ahli jawatankuasa Putra selepas sidang akhbar mengenai kelulusan parti itu hari ini
Ibrahim (lima dari kiri) menunjukkan logo Parti Putra bersama barisan ahli jawatankuasa Putra selepas sidang akhbar mengenai kelulusan parti itu hari ini
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan mempertimbangkan hasrat sama ada menyertai Kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).

Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, buat masa sekarang barisan kepimpinan Putra akan memfokuskan kepada pembentukan struktur organisasi yang merupakan fasa pertama dalam Putra.

"Sekarang ini fokus kita adalah tertumpu kepada pembentukan struktur organisasi dahulu, selepas itu baru kita akan pertimbangkan sama ada mahu menyertai mana-mana kumpulan ataupun tidak.

"Perkara ini akan ditentukan oleh kepimpinan yang akan dilantik pada 22 Mei akan datang kerana ini semua ada kena mengena dengan strategi Putra. Terlalu awal untuk kita mahu katakan sekarang," katanya pada sidang akhbar mengenai kelulusan penubuhan parti itu di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Putra, Tan Sri Mohd Khalid Mohd Yunus; Setiausaha Agung Putra, Arshad Aliman; Ketua Penerangan Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dan Ahli Jawatankuasa Putra, Datuk Hamidah Osman.

Penubuhan Putra diumumkan Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pada Ogos tahun lalu dan akhirnya parti itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) semalam.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, Putra merupakan sebuah parti yang mesra untuk bersahabat dengan mana-mana parti politik dan bersifat terbuka untuk menerima sebarang teguran daripada rakyat.

"Kita akan terima teguran dengan perasaan terbuka, kita tidak akan terasa hati dengan kecaman ataupun teguran yang diberikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Ibrahim menafikan penubuhan Putra memecahbelahkan orang Melayu dan Islam kerana perjuangan mereka adalah untuk menjaga kepentingan perpaduan Ummah.

Jelas beliau, perjuangan parti tersebut adalah untuk mendaulatkan agama Islam dan bangsa yang berteraskan kepada prinsip mendukung perlembagaan negara.

"Kita tidak akan berkompromi dalam soal bangsa dan agama, kerana Kita tidak mahu menjadi pemimpin yang bersifat hipokrit.