Pembiayaan Tekun bantu usahawan kembang perniagaan

Anwar menyampaikan cek kepada penerima Mohd Sukeri (empat dari kanan) yang mewakili 21 orang usahawan Skim Pembiayaan Usahawan Tekun Negeri Terengganu berjumlah RM606,000 pada Majlis Perjumpaan bersama Usahawan di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam pada Rabu. - Foto Bernama
Anwar menyampaikan cek kepada penerima Mohd Sukeri (empat dari kanan) yang mewakili 21 orang usahawan Skim Pembiayaan Usahawan Tekun Negeri Terengganu berjumlah RM606,000 pada Majlis Perjumpaan bersama Usahawan di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pelbagai bentuk pembiayaan yang disediakan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan memulakan perniagaan, malah membantu mereka mengembangkan perusahaan ke peringkat lebih tinggi.

Pengusaha restoran, Mohd Sukeri Mohd Yusof, 51, dari Kampung Paya Datu, Manir, dekat sini berkata, pembiayaan yang diperoleh daripada Tekun Nasional amat membantu peniaga kecil sepertinya dalam membina perniagaan yang lebih kukuh.

Mohd Sukeri berkata, membuat pinjaman daripada agensi itu sebanyak RM50,000 pada 2001 untuk memulakan perniagaan dalam bidang katering.

Menurutnya, walaupun tidak mempunyai jaminan dan cagaran, dia berjaya mendapatkan pembiayaan dengan mudah berkat bantuan dan kerjasama kakitangan Tekun Nasional.

"Hari ini saya terima pembiayaan baharu sebanyak RM30,000 yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Memang teruja dan gembira.

"Pembiayaan ini akan saya manfaatkan untuk perbesarkan kedai dan membeli peralatan yang berkaitan," katanya ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Usahawan Tekun Nasional pada Rabu.

Seramai 1,000 usahawan menyertai perjumpaan itu yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Sementara itu, usahawan makanan segera dan sejuk beku, Anita Amri, 48, berkata, dia amat terhutang budi dengan Tekun Nasional yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada peniaga.

Artikel Berkaitan:

Dia yang berasal dari Kampung Tok Kaya berkata, sudah membuat lima kali pinjaman dengan pembiayaan terbesar sebanyak RM100,000 pada tahun lepas.

"Tekun Nasional bukan sahaja menyediakan pembiayaan untuk usahawan, tetapi polisi dan kaedah bayaran balik yang dilaksanakannya mendidik usahawan dalam menguruskan perbelanjaan.

"Setiap ringgit yang diterima daripada Tekun Nasional saya manfaatkan untuk pembangunan perniagaan. Saya akan terus menggunakan khidmat agensi itu pada masa akan datang," katanya.

Pada pembentangan Belanjawan Malaysia Madani 2023 Februari lepas, kerajaan meluluskan peruntukan RM330 juta kepada Tekun Nasional untuk membantu usahawan memulakan dan mengembangkan perniagaan. - Bernama