Kuih gandus jadi santapan diraja sempena Kembara Mahkota Johor

Md Jamil menunjukkan kuih gandus yang telah siap dimasak di Kompleks Penghulu Mukim Ayer Hitam, Muar pada Isnin. - Foto Kelab Media Johor
Md Jamil menunjukkan kuih gandus yang telah siap dimasak di Kompleks Penghulu Mukim Ayer Hitam, Muar pada Isnin. - Foto Kelab Media Johor
A
A
A

MUAR - Mungkin ramai dalam kalangan kita terutamanya generasi muda hari ini, yang tidak tahu mengenai kuih 'gandus' yang merupakan salah satu kuih tradisi masyarakat Jawa.

Malah, kuih berkenaan dikatakan sudah hampir 'pupus' ditelan zaman apabila sudah tidak ramai yang membuatnya ketika ini.

Justeru, demonstrasi memasak kuih berkenaan yang tersenarai dalam aktiviti konvoi diraja Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 ternyata menarik perhatian ramai sehinggakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkenan merasai sendiri kuih berkenaan.

Menurut seorang tukang masak, Md Jamil Madran, 70, proses membuat kuih gandus adalah sama seperti proses memasak kuih-kuih lain dan ia menggunakan bahan-bahan seperti air kelapa, tepung gandum atau tepung beras, kelapa parut dan air.

Katanya, acuan khas yang diperbuat daripada tembaga akan digunakan bagi proses membuat kuih berkenaan sebelum ia dimasak menggunakan arang.

Md Jamil berkata, menu istimewa berkenaan dibuat dengan acuan khas daripada tembaga, di mana bahan-bahan untuk membuatnya terdiri daripada air kelapa, tepung gandum atau tepung beras, kelapa parut dan air sebelum dimasak dengan arang.

“Saya sebenarnya berhasrat mempersembahkan hidangan istimewa ini kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada KMJ kali ini tetapi tidak kesampaian.

"Bagaimanapun, saya tetap berbangga kerana hidangan kuih gandus ini menjadi antara menu yang terhidang di atas meja untuk santapan Tunku Ismail,” katanya pada Isnin sempena konvoi Diraja KMJ 2023 singgah di Kompleks Penghulu Mukim Ayer Hitam di sini pada Isnin.

Konvoi diketuai Tunku Ismail itu tiba kira-kira jam 12 tengah hari dan disambut dengan paluan kompang daripada kumpulan Kompang Seri Sepadan.

Ia turut disertai Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah berkenan menyaksikan permainan kawalan jauh (remote control).

Konvoi diraja berkenaan menghabiskan masa kira-kira sejam setengah selepas bermesra dengan penduduk sekitar.

Sementara itu, Md Jamil berkata, beliau pada mulanya tidak berminat untuk memasak kuih berkenaan, namun bertukar fikiran setelah melihat acuan berusia lebih 90 tahun dibuat daripada tembaga tidak digunakan.

Beliau kemudian cuba memasak kuih berkenaan dengan dibantu isteri Misrupah Buhari, 63 dan tidak sangka akhirnya menjadi.

"Alhamdulillah, menjadi juga kuih gandus ni... Sekarang pun kalau ada majlis tertentu atau kenduri di sekitar kawasan Ayer Hitam ada sahaja tempahan kuih gandus ni sama ada untuk minum pagi atau minum petang.

"Anak saya juga merancang untuk mempopularkan semula kuih ini, namun akan menamakannya sebagai ‘Takoyaki Jawa' bagi menarik perhatian orang ramai," katanya.