Rakyat beri signal 'positif' kepada PN - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri menunjukkan simbol bagus ketika menyempurnakan majlis perasmian University CollegeTATI Kampus Kota (UC TATI City Campus) di Kuala Terengganu, pada Isnin.
Ahmad Samsuri menunjukkan simbol bagus ketika menyempurnakan majlis perasmian University CollegeTATI Kampus Kota (UC TATI City Campus) di Kuala Terengganu, pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tempoh kempen yang memasuki hari kesembilan pada Isnin menunjukkan rakyat memberi signal positif terhadap Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK).

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keadaan itu bukan sahaja boleh dilihat di Terengganu malah turut ditonjolkan di negeri-negeri lain.

Menurutnya, situasi itu menggambarkan secara jelas bahawa PN kini berada di kedudukan selesa untuk berdepan dengan proses pilihan raya pada 12 Ogos depan.

"Dalam dunia tanpa sempadan yang ada ini, saya memerhatikan suasana kempen dan respons rakyat, bukan sahaja di Terengganu, termasuk di beberapa negeri lain.

"Bila kita satukan dengan apa yang berlaku di Terengganu ini, ia menunjukkan kesetaraan respons rakyat yang sangat positif di pelbagai peringkat.

"Saya sangat berpuas hati dan itulah gerak kerja di hari-hari yang masih berbaki ini (kempen) yang mana merupakan tempoh masa penting kepada semua parti yang bertanding," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian University CollegeTATI Kampus Kota (UC TATI City Campus) di sini, pada Isnin.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, tempoh kempen sepanjang PRN dan PRK kali ini juga dilihat lebih tenteram berbanding beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

"Berbanding pilihan raya lalu, kali ini keadaan dilihat lebih tenteram dan kita harap sehingga Sabtu ini suasana yang aman dan tenteram dapat dikekalkan.

"Kita juga berharap semua pihak yang bertanding dalam pilihan raya ini haruslah ada 'self control' atau 'self restrain' masing-masing supaya kita berkempen dengan cara yang baik, berhemah, elak provokasi yang tidak sihat untuk diamalkan dalam mana-mana pilihan raya," ujar beliau.

Ahmad Samsuri bertanding atas tiket Pas bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Pada PRN kali ini, kerusi DUN Ru Rendang menyaksikan pertembungan satu lawan satu di mana Ahmad Samsuri dicabar calon Pakatan Harapan (PH) dari parti Amanah, Suhaimi Sulaiman.

Pada PRU14 lalu, Ahmad Samsuri memenangi kerusi berkenaan selepas menewaskan dua calon lain dengan majoriti 6,028 undi.

Beliau memperoleh 13,851 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (7,823 undi) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawi Sulong (729 undi).

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!