Langganan program Tarif Elektrik Hijau dibuka semula 11 Ogos ini

Suruhanjaya Tenaga
Suruhanjaya Tenaga
A
A
A

SHAH ALAM - Permohonan bagi kuota langganan baharu di bawah program Tarif Elektrik Hijau (GET) dibuka semula dari jam 11 pagi hingga 5 petang pada 11 Ogos ini.

Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata, pelanggan tidak akan dikenakan caj Pelaksanaan Mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi jumlah penggunaan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB), namun ia terhad kepada blok GET yang dilanggan.

Menurutnya, program GET merupakan solusi berasaskan langganan buat pengguna mesra alam atau organisasi dengan matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus bagi mendapatkan bekalan elektrik daripada sumber TBB untuk kediaman serta perniagaan.

“Pengguna program ini juga akan mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa melalui Sijil Tenaga Boleh Baharu Malaysia yang bakal dianugerahkan pada penghujung tahun kalendar.

“Ia bagi mengiktiraf jumlah penggunaan tenaga elektrik daripada sumber TBB di sepanjang tempoh langganan,” ujar ST dalam kenyataan pada Isnin.

Pada 27 Julai, Kementerian Ekonomi melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa Pertama yang dijangka membuka peluang pelaburan antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050.

Menterinya, Rafizi Ramli menjelaskan, rakyat boleh sewakan atau pajak bumbung rumah kepada syarikat di bawah NETR bagi menambah pendapatan tanpa kos pemasangan panel solar sebaliknya syarikat tersebut akan membayar secara bulanan kepada pelanggan.

Tambah ST, satu sesi taklimat berkenaan program tersebut akan diadakan secara hibrid pada 8 Ogos bermula jam 9.30 pagi.

Ujarnya, syarikat yang berminat mengetahui secara mendalam mengenai program berkenaan dipelawa untuk menghadiri sesi itu secara dalam talian melalui pautan http://tiny.cc/GETbriefing.