PRN: BN-PH tawar Skim Sejahtera Rakyat di Negeri Sembilan

Aminuddin (tiga dari kiri) bersama Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias (tiga dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan pada Ahad.
Aminuddin (tiga dari kiri) bersama Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias (tiga dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menawarkan Skim Sejahtera Rakyat merangkumi bantuan tunai menerusi Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan sempena pilihan raya negeri (PRN) minggu depan.

Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, skim berkenaan mencakupi kehidupan rakyat sejak awal kelahiran sehingga menjejak usia warga emas.

Antara yang ditawarkan termasuk bantuan khas tunai RM100 bagi kelahiran bermula tahun 2023 hingga 2027, bantuan perkahwinan RM500 kepada setiap individu yang mendirikan rumah tangga kali pertama, kemasukan ke institut pengajian tinggi (sehingga RM1,000) serta sumbangan keceriaan tahunan RM200 kepada warga emas.

“Jawatankuasa manifesto telah banyak kali bersidang untuk memastikan tawaran yang baik dapat dilaksanakan dan kepimpinan PH-BN telah bersetuju dengan cadangan-cadangan tersebut.

“Kita membawa Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan untuk tatapan pengundi rakyat bahawa inilah janji kita dan insya-ALLAH dapat dilaksanakan mengikut keperluan serta kebolehan kerajaan negeri dalam melaksanakan manifesto ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Manifesto Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Besar menjelaskan, kerajaan negeri mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan tawaran-tawaran berkenaan.

Justeru, calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat itu menegaskan, segala inisiatif dan perancangan yang ditawarkan adalah satu tekad serta komitmen BN-PH kepada rakyat.

“Semua teras ada peruntukan terutama membabitkan keperluan rakyat, menjaga pemasalahan rakyat. Macam bantuan anak Negeri Sembilan, ramai masuk asrama penuh, kita bagi bantuan RM300.

“Kita tidak mahu berjanji perkara yang tidak dapat dilaksanakan, dari kewangan, kemampuan, kerajaan negeri dapat lakukan dengan baik dan insya-ALLAH dapat berikan satu perkara menggembirakan rakyat,” jelasnya.

Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan menawarkan lima tekad bagi mencapai negeri maju, ekonomi mampan dan rakyat sejahtera menerusi 70 inisiatif di bawah 10 teras utama.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!