Erdogan akan berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat - PM

Recep Tayyip Erdogan - Foto Bernama
Recep Tayyip Erdogan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad memaklumkan bahawa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan akan berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat.

Dalam hantaran menerusi Facebook, Anwar berkata, Erdogan telah menyatakan komitmen jelas berhubung kunjungan itu bagi memenuhi undangannya untuk memperkukuh lagi hubungan kedua-dua negara, melalui pertemuan secara maya bersama beliau malam tadi.

"Saya dan Presiden Erdogan turut bersetuju untuk bersemuka semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York bulan depan," menurut hantaran itu.

Turut hadir pada sesi pertemuan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam sesi itu, Anwar berkata, beliau dan Erdogan membincangkan tentang kerjasama pertahanan, dengan Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) telah menghantar delegasi yang besar untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023) pada Mei lepas.

Anwar mengadakan pertemuan secara maya bersama Erdogan pada malam Sabtu. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Anwar mengadakan pertemuan secara maya bersama Erdogan pada malam Sabtu. - Foto Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri menzahirkan rasa kagum dengan kemajuan teknologi pertahanan Turkiye dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara Malaysia dengan Turkiye.

"Sayugia saya bersetuju secara prinsip untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat," kata Anwar.

Selain itu, Anwar berkata, beliau turut menyatakan pendirian tegas Kerajaan Perpaduan yang menolak sebarang unsur keganasan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam keganasan di negara ini.

Beliau juga memaklumkan kepada Erdogan mengenai usaha Malaysia dalam menentang Islamofobia (permusuhan dan benci ke atas Islam) susulan tindakan membakar al-Quran di Sweden dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu yang berlindung di sebalik hak kebebasan bersuara yang diagungkan oleh barat.

"Lantaran itu, Malaysia menzahirkan komitmen untuk menyumbang satu juta naskhah al-Quran di seluruh dunia termasuk 15,000 naskhah dengan terjemahan dalam bahasa Sweden sebagai satu daripada usaha untuk menangani kedangkalan pemahaman barat terhadap Islam," katanya.

Beliau berkata dalam sesi itu juga, Erdogan sempat mendoakan kejayaan gabungan perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini. - Bernama