Angkasa anjur pertandingan Koperasi Prihatin Sejuta Pokok

Abdul Fatah menanam pokok simbolik kepada pelancaran 'Pertandingan Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan' di Gombak pada Sabtu.
Abdul Fatah menanam pokok simbolik kepada pelancaran 'Pertandingan Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan' di Gombak pada Sabtu.
A
A
A

GOMBAK - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menganjurkan 'Pertandingan Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan' bagi mencapai objektif penanaman sejuta pokok oleh gerakan koperasi di seluruh negara.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, untuk pertandingan itu, Angkasa menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM52,800 beserta sijil peringkat kebangsaan dan sijil pencapaian.

Menurutnya, pertandingan terbahagi kepada kategori Jumlah Penanaman Pokok Tertinggi Peringkat Negeri (Kategori Sekolah), Jumlah Penanaman Pokok Tertinggi Peringkat Kebangsaan (Kategori Sekolah) dan Jumlah Penanaman Pokok Tertinggi Peringkat Kebangsaan (Kategori Pelajar).

“Pokok yang ditanam perlu selaras dengan definisi pokok yang digariskan oleh agenda Penghijauan Malaysia iaitu semua jenis pokok tumbuhan berkayu yang mempunyai akar, batang, dahan dan daun.

“Program ini dilaksanakan selaras dengan inisiatif Angkasa sebagai badan apeks gerakan koperasi negara untuk melibatkan gerakan koperasi menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030, menyokong inisiatif United Nation (UN) Decade on Ecosystem Restoration 2021-2030 serta agenda nasional Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok (2021-2025),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran pertandingan itu Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor pada Sabtu.

Turut hadir Penolong Kanan Pentadbiran,Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Shahariah Mohamed Ismail.

Jelasnya, inisiatif Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok adalah hasil daripada usaha kolaborasi yang melibatkan pelbagai pihak.

“Usaha ini didukung oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta agensinya, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Institut Koperasi Malaysia,” katanya

Tambahnya lagi, koperasi sekolah yang berminat boleh memuat turun aplikasi Penghijauan Malaysia secara percuma di Google Playstore, Apple App Store dan Huawei AppGallery untuk mendaftar atau melalui laman sesawang 100jutapokok.gov.my serta daftar menerusi borang dalam talian (Google Form).

“Tempoh pertandingan Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan ini bermula dari 15 Jun 2023 sehingga 15 Oktober 2023,” ujarnya

Untuk maklumat lanjut berkenaan terma dan syarat pertandingan dan pautan e-borang penyertaan,peserta boleh melayari laman sesawang www.sejutapokok.coop atau www.angkasa.coop atau Facebook: @SejutaPokok / @ANGKASACoop.