20 tahun teringin sertai perbarisan di Dataran Merdeka

Kandapan (atas, kiri), bersemangat melaungkan merdeka di hadapan rumahnya.
Kandapan (atas, kiri), bersemangat melaungkan merdeka di hadapan rumahnya.
A
A
A

JOHOR BAHRU - "Saya teringin nak masuk (perbarisan) di Dataran Merdeka.Itu cita-cita saya," kata seorang ahli perniagaan, M. Kandapan, 63, yang mahu menyertai perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan, tidak lama lagi.

Katanya, sudah 20 tahun dia memohon untuk menyertai perbarisan tersebut, namun tidak berjaya sehingga ke hari ini.

Justeru katanya, kali ini dia berharap agar permohonannya akan mendapat perhatian yang sewajarnya.

"Tahun ni kita ada minta dengan menteri komunikasi, dah 20 tahun minta tak pernah dapat, jadi kali ini dengan Perdana Menteri baharu, harap dapat kita masuk ke Dataran Merdeka.

"Ini adalah cita-cita saya...dah 20 tahun dah, anak saya pun dah 24 tahun sekarang.

"Lagi pun, saya tak turunkan bendera ni... kalau 30 hari, 30 harilah, kalau turun pun tuanku birthday (Hari Keputeraan Sultan Johor) bulan Mac, dan (naikkan), gambar tuanku dengan bendera Johor," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Kandapan
Kandapan

Kandapan berkata demikian bagi mengulas mengenai 'persiapan' luar biasanya bagi menyambut Hari Kebangsaan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Difahamkan, sebanyak 6,000 bendera bersaiz kecil dan besar dipasang di dua kenderaan miliknya dan satu kenderaan milik rakan baiknya.

Selain itu, Kandapan turut menghias rumahnya dengan Jalur Gemilang, termasuk bendera negeri-negeri di seluruh negara termasuk beberapa hiasan tambahan lain.

Sementara itu, Kandapan turut menasihati golongan muda agar sentiasa menanamkan semangat cintakan negara.

"Orang-orang tua dulu bukan senang nak dapatkan kemerdekaan, kena lawan sana, lawan sini.

" Sebab tu semangat ini kena ada sejak kecil lagi, sejak mereka di tadika.

"Macam baju yang kita pakai, kita cantum-cantum kain, tak elok kalau kita potong bendera buat baju. Kena hormat," katanya.