Skuad ragbi harap tuah undian

Skuad ragbi menyasarkan untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik dalam Sukan Asia di China September depan. - Foto Facebook MSN
Skuad ragbi menyasarkan untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik dalam Sukan Asia di China September depan. - Foto Facebook MSN
A
A
A

SKUAD ragbi tujuh sebelah (7s) kebangsaan mengharapkan undian peringkat kumpulan akan berpihak kepada mereka di Sukan Asia 2022 Hangzhou, China berlangsung pada 23 September hingga 8 Oktober depan.

Ketua Jurulatihnya, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, undian lebih baik bakal mencerahkan peluang skuad negara muncul selaku empat pasukan terbaik sekali gus memperbaiki pencapaian tempat kelima pada temasya edisi 2018 Jakarta-Palembang.

"Saya harap memperoleh undian yang baik kerana ada beberapa negara yang kita sasarkan mampu untuk diatasi.

"Jika diberi pilihan mahu diundi dengan Korea Selatan dan China.

Ini kerana jika berdasarkan daripada segi tahap permainan dan saiz, mereka lebih besar namun kita ada kelebihan daripada segi kepantasan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian semasa sesi lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia 2022 Hangzhou Datuk Chong Kim Fatt di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Nik Safuan turut optimis skuad negara mampu merealisasikan sasaran empat pasukan terbaik berdasarkan latihan direncananya bagi berdepan pasukan gergasi lain seperti Jepun dan Hong Kong.

"Jadi saya dah kenal pasti beberapa kelemahan yang mana saya akan beri penekanan kepada aspek pertahanan dan penyesuaian," katanya.

Dalam pada itu, Nik Safuan memaklumkan sedang menunggu pemakluman daripada Ragbi Asia sama ada skuad negara terpilih bagi menyertai Kejohanan Asia Rugby Sevens Series (ARSS) 2023 di Incheon, Korea Selatan pada 26 dan 27 Ogos ini sebagai medan pemanas badan sebelum ke Sukan Asia itu.

Katanya, keputusan bagaimanapun hanya akan diketahui selepas 10 Ogos ini dan sekiranya tidak tersenarai, beliau merancang menggantikannya dengan beberapa perlawanan ujian menentang pasukan seperti Thailand dan Taiwan. - Bernama