PRN: Manifesto PH-BN Negeri Sembilan dilancar Ahad ini

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEREMBAN - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan melancarkan manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ahad ini, kata Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengerusi PH Negeri Sembilan itu berkata, perkara tersebut telah dimuktamad melalui perbincangan bersama Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Jawatankuasa Manifesto kedua-dua gabungan politik.

"Yang pastinya manifesto itu akan memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan dan tambah baik daripada manifesto lepas supaya masyarakat mendapat nikmat daripadanya,” kata beliau kepada pemberita selepas beramah mesra dengan orang ramai di sini pada Jumaat.

Pada PRN 12 Ogos ini, Aminuddin mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat yang disandangnya sejak 2008 dan berdepan saingan empat penjuru menentang Ahmad Raihan Muhamad Hilal daripada Perikatan Nasional (PN) serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.

Pilihan Raya Umum ke-14 di Negeri Sembilan yang memiliki 36 DUN menyaksikan PH menguasai 20 kerusi, DAP (11), PKR (6), Amanah (tiga) manakala BN 16 (UMNO 15 dan MIC satu) dan PH-BN perlu mendapat majoriti mudah dua pertiga atau 19 kerusi untuk membentuk kerajaan pada PRN kali ini.

Aminuddin juga optimis bahawa satu atau dua kawasan yang dikategorikan 'kelabu’ akan dapat 'diputihkan’ dalam masa terdekat menerusi komitmen berterusan semua calon PH dan jentera pilihan raya yang turun padang bertemu semua pengundi di kawasan masing-masing.

"Ada satu dua agak kelabu pada peringkat awal tapi sekarang nampak sinar... kita fokus kawasan berkenaan... menjelang dua tiga hari nanti, ia akan berubah... kita cuba pertahankan 19 kerusi kita manakala BN juga yakin peroleh 17 kerusi,” katanya.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, perjalanan kempen yang memasuki hari ketujuh berjalan lancar dan sokongan masyarakat terhadap PH-BN termasuk pengundi muda kini menunjukkan peningkatan.

"Hanya ada satu dua kawasan saya pantau lebih dan perjumpaan bersama pengundi dipertingkat. Yang lain berjalan lancar dan kempen disusun dengan teratur... dari segi kepimpinan, cabang dan jentera tak ada masalah cuma ditumpukan di peringkat akar umbi terutama ranting.

"... saya yakin Negeri Sembilan tak seperti negeri lain, saya tak nampak anak muda beralih sokong pembangkang,” katanya. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!