Penganjur, peserta mogok lapar akan dipanggil polis

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjur dan peserta kumpulan mogok lapar di hadapan pintu masuk Penjara Sungai Buloh akan dipanggil polis dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya akan merakam percakapan mereka yang terlibat.

"Siasatan dijalankan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Peserta mogok lapar itu juga dilaporkan telah bersurai dan pihak polis akan memanggil mereka ini untuk membantu siasatan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kira-kira 100 ahli keluarga kepada 69 tahanan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) melancarkan mogok lapar di hadapan Penjara Sungai Buloh sejak Isnin.

Presiden Kebangsaan Nambikkai, Datuk Dr Kalai Vanar dilaporkan berkata, bantahan itu adalah untuk menggesa kerajaan membebaskan semua tahanan dan memansuhkan undang-undang pencegahan.

Dakwanya, tahanan SOSMA ditahan di dua penjara iaitu 34 orang di Penjara Sungai Buloh dan selebihnya di Penjara Alor Setar.

Susulan itu, Timbalan Menteri di Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh telah menegaskan ahli keluarga kepada tahanan SOSMA diminta menamatkan tindakan mogok lapar itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga tahanan SOSMA mogok lapar di luar penjara

Polis siasat himpunan mogok lapar depan Penjara Sungai Buloh

Polis ada kuasa tahan peserta mogok lapar di Penjara Sungai Buloh