Polis ada kuasa tahan peserta mogok lapar di Penjara Sungai Buloh

Ahli keluarga kepada 69 tahanan bawah SOSMA melancarkan mogok lapar di hadapan Penjara Sungai Buloh sejak Isnin.
Ahli keluarga kepada 69 tahanan bawah SOSMA melancarkan mogok lapar di hadapan Penjara Sungai Buloh sejak Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan untuk menahan kumpulan perhimpunan yang masih berada di hadapan pintu masuk Penjara Sungai Buloh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih memberi masa ekoran terdapat sedikit proses melibatkan pihak kementerian terlibat dengan kumpulan yang mengadakan mogok lapar tersebut.

Beliau berkata, pihak kementerian terlibat mahu menyiasat beberapa perkara mengenai aduan serta dakwaan bahawa tahanan di Penjara Sungai Buloh tidak diberikan hak yang sepatutnya.

"Sehingga jam 2 petang ini (Rabu), terdapat 44 ahli keluarga tahanan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) masih berada di hadapan pintu masuk Penjara Sungai Buloh.

"Mereka ini melibatkan sekumpulan lelaki dan wanita dewasa bersama anak-anak masing-masing.

"Pihak polis telah memberi ruang yang cukup kepada mereka, malah menasihatkan untuk bersurai setelah perhimpunan ini sudah masuk hari ketiga pada hari ini.

"Oleh itu, tindakan tangkapan boleh diambil sekiranya mereka masih berdegil untuk bersurai apabila arahan telah diberikan," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kira-kira 100 ahli keluarga kepada 69 tahanan bawah SOSMA melancarkan mogok lapar di hadapan Penjara Sungai Buloh sejak Isnin.

Presiden Kebangsaan Nambikkai, Datuk Dr Kalai Vanar dilaporkan berkata, bantahan itu adalah untuk menggesa kerajaan membebaskan semua tahanan dan memansuhkan undang-undang pencegahan.

Menurutnya, tahanan SOSMA ditahan di dua penjara iaitu 34 orang di Penjara Sungai Buloh dan selebihnya di Penjara Alor Setar.

Sementara itu, mengulas mengenai pergaduhan antara dua geng motosikal di sebuah restoran di Pandan Indah pada Selasa, Hussein berkata, pihaknya telah menahan tujuh orang lelaki berusia belasan tahun dan 20-an.

Katanya, tangkapan dibuat pada malam Selasa selepas berlaku pergaduhan akibat perselisihan faham.

Sehubungan itu menurutnya, satu kertas siasatan telah dibuka melibatkan pergaduhan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat himpunan mogok lapar depan Penjara Sungai Buloh

Keluarga tahanan SOSMA mogok lapar di luar penjara