2 tahun buat persiapan, Anfaal yakin menang meskipun ditukar DUN

Naib Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Amanah), Anfaal Saari.
Naib Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Amanah), Anfaal Saari.
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Amanah), Anfaal Saari yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Klang, mengakui terkejut dengan strategi ditetapkan parti yang bertindak menukar calon pada saat-saat akhir.

Beliau yang juga Naib Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, persiapan telah pun dibuat bersama pasukannya sejak dua tahun lalu, namun ia tetap akan dimanfaatkan untuk memastikan kemenangan kerusi DUN Taman Templer yang ditandingi.

“Tipulah kalau tidak terkejut, kerana sudah mempersiapkan diri dan pasukan selama dua tahun lamanya namun apabila dipindahkan ke sini saya akan memanfaatkan kemahiran dan pengalaman saya sepenuhnya.

“Saya lihat keadaan di sini tidak jauh beza dengan daerah Hulu Kelang iaitu dari segi demografi, Melayu Islam, pinggir bandar dan juga mempunyai daya tarikan pelancongan yang boleh dibangunkan lagi.

“Saya akan meneruskan perkhidmatan dalam keluarga besar baru ini, insya-ALLAH,” katanya menerusi Sinar Live pada Khamis.

Media melaporkan, calon PH Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli berkata, beliau dipindahkan dari DUN Bukit Melawati ke DUN Hulu Kelang untuk menggantikan Anfaal yang ditukar ke DUN Taman Templer.

Pertukaran kerusi itu susulan kerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu kerusi DUN Batu Tiga diberikan kepada Amanah, manakala DUN Hulu Kelang diberikan kepada PKR atas persetujuan presiden-presiden parti.

Anfaal menambah, kepercayaan dan keyakinan penuh diberikan kepada pucuk kepimpinan parti PH mengambil kira secara keseluruhan untuk memastikan Selangor terus menang di bawah Kerajaan Perpaduan.

Katanya, percaturan itu bukan sahaja untuk satu kerusi dimenangi namun dua kerusi mampu diraih apabila parti meletakkan Juwairiya sebagai calon di Hulu Kelang.

“Saya yakin dengan tindakan itu akan membolehkan dua wanita jika diberi peluang, insya-ALLAH kami akan menyumbang kepada kemenangan perpaduan di Selangor.

“Jadi, bagi memastikan nama Anfaal Saari menembusi seluruh kawasan tersebut dalam masa seminggu dua ini dengan memanfaatkan jentera dan ‘networking’ yang ada,” ujarnya.