Kerajaan sasar 150,000 kemasukan peserta dalam TVET Khas Wanita JELITA

Ahmad Zahid (tengah) melancarkan TVET Khas Wanita JELITA disaksikan oleh Noraini (dua dari kiri) dan Fadhlina (dua dari kanan) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Ahmad Zahid (tengah) melancarkan TVET Khas Wanita JELITA disaksikan oleh Noraini (dua dari kiri) dan Fadhlina (dua dari kanan) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyasarkan 150,000 kemasukan peserta dalam Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Khas Wanita JELITA selaras memacu kemahiran golongan wanita bagi melahirkan kepakaran khusus yang mampu menawarkan padanan industri dengan lebih menyeluruh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu ditetapkan dengan harapan agar Program JELITA ini dapat menjadi platform 'game-changer' yang didedikasikan khas untuk memperkasakan golongan wanita di negara ini melalui pendidikan dan latihan kemahiran.

Ahmad Zahid ketika berucap dalam Program Majlis Pelancaran TVET Wanita Jelita di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Ahmad Zahid ketika berucap dalam Program Majlis Pelancaran TVET Wanita Jelita di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

"Program ini merangkumi bidang seperti teknologi maklumat, kejuruteraan, teknologi agro sehingga kepada reka bentuk fesyen, seni kreatif, industri halal dan pelbagai lagi. Setiap kursus direka sejajar dengan trend industri semasa dan ramalan pasaran kerja masa hadapan

"Usaha yang diperkenalkan ini sangat mustahak kerana wanita seringkali berhadapan dengan cabaran ekonomi dan sosial yang unik antaranya diskriminasi jantina, perbezaan gaji dan kesukaran untuk memasuki bidang pekerjaan yang didominasi oleh kaum lelaki.

"Program JELITA ini tidak hanya berhenti pada penyampaian latihan tetapi juga bertujuan untuk menyediakan sokongan selepas latihan," katanya ketika dalam ucapan perasmian Program Majlis Pelancaran TVET Wanita Jelita di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis.

Dalam pada itu, menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, usaha memperkasakan TVET diharap dapat diperhebatkan lagi dengan menggabungkan semua kolej di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) agar bersama-sama memberi fokus kepada usaha pembangunan TVET.

Ahmad Zahid (tengah) bersama tetamu selepas melancarkan Program TVET Khas Wanita JELITA yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Ahmad Zahid (tengah) bersama tetamu selepas melancarkan Program TVET Khas Wanita JELITA yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

Ulasnya, di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), terdapat Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) yang kini berkolaborasi dengan 12 rakan strategik telah sedia memberikan kemudahan untuk latihan serta kemahiran intensif kepada pelajar.

Tambahnya, manakala di pihak Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pula, terdapat kerjasama 11 rakan strategik dan 58 rakan industri yang menjanjikan 1,000 penempatan kerja untuk bakal - bakal graduan.

"Di masa hadapan nanti, UCAM boleh menerajui usaha penggabungan ini seterusnya dapat dijenamakan sebagai Kolej Universiti TVET Malaysia.

"Ini bermakna, semua kolej di bawah KKDW menjadi cawangan Kolej Universiti TVET Malaysia dengan menawarkan kursus-kursus kemahiran dan teknologi terkini seperti kejuruteraan kenderaan elektrik, teknologi pertanian, dron dan kecerdasan buatan (AI)," ujarnya.

Noraini ketika berucap dalam Program Majlis Pelancaran TVET Wanita Jelita di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Noraini ketika berucap dalam Program Majlis Pelancaran TVET Wanita Jelita di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

Dalam pada itu, Pengerusi RISDA, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, kolaborasi antara UCAM dan UTeM sebagai penyedia utama latihan TVET Jelita itu juga mampu memperluaskan lagi program dan pensijilan yang lebih tinggi.

"UCAM dan UTeM akan berkolaborasi dengan sasaran 87 penyedia latihan di seluruh Malaysia dalam menawarkan program dan pensijilan yang lebih tinggi dan luas.

"Program JELITA ini akan mensasarkan kepada enam golongan peserta, iaitu lepasan sekolah dan meminati bidang kemahiran untuk kerjaya; suri rumah atau ibu tunggal yang ingin memasuki alam pekerjaan demi menjana pendapatan tambahan serta wanita luar bandar atau orang asal yang meminati bidang kemahiran.

"Selain itu, usahawan wanita yang ingin mengembangkan perniagaan dalam bidang kemahiran; wanita berkerjaya yang ingin mengubah karier untuk mencuba skop kerja yang lebih menguntungkan; dan profesional wanita yang ingin meningkatkan kemahiran diri bagi pengembangan karier," ujarnya.