Dua lori terjunam bawah jambatan

Dua lori terjunam kira-kira 15 meter dari jambatan di KM336 Lebuh raya Utara Selatan arah utara berhampiran Tapah dalam kejadian pada Khamis.- Foto PDRM Perak
Dua lori terjunam kira-kira 15 meter dari jambatan di KM336 Lebuh raya Utara Selatan arah utara berhampiran Tapah dalam kejadian pada Khamis.- Foto PDRM Perak
A
A
A

TAPAH - Dua buah lori terjunam kira-kira 15 meter dari jambatan di KM336 Lebuh raya Utara Selatan arah utara berhampiran Tapah dalam kejadian pada Khamis.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian berlaku jam 7 pagi melibatkan sebuah lori kontena dan lori sebuah syarikat kurier.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila lori kontena muatan barang runcit pasar raya mengalami kerosakan sebelum terpaksa berhenti di lorong kecemasan.

"Lori syarikat kurier dari arah sama telah hilang kawalan dan melanggar bahagian kanan hadapan lori kontena berkenaan menyebabkan kedua-dua kenderaan terjunam ke bawah jambatan.

"Akibat daripada kemalangan terbabit, pemandu lori syarikat kurier berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan menerima rawatan di Hospital Tapah, manakala pemandu lori kontena tidak mengalami kecederaan," katanya menerusi siaran media pada Khamis.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 43 (1) APJ 1987 berhubung kejadian terbabit.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor P Prathiparaj di talian 014-6178095 bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan bertimbang rasa semasa memandu kenderaan supaya kemalangan seperti itu dapat dielakkan.