Sultan Brunei diberi sambutan negara di Istana Negara

Al-Sultan Abdullah (kanan) berkenan bergambar kenangan bersama Sultan Hassanal Bolkiah pada Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara pada Khamis. - Foto: Bernama
Al-Sultan Abdullah (kanan) berkenan bergambar kenangan bersama Sultan Hassanal Bolkiah pada Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara pada Khamis. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah diberi sambutan negara di Istana Negara pada Khamis sempena lawatan ke Malaysia selama tiga hari bermula Rabu.

Keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah pada jam 11 pagi diiringi Raja Isteri Pengiran Anak Saleha disambut Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri kabinet.

Istiadat sambutan di padang kawad itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Brunei dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, disusuli tembakan meriam 21 das.

Sultan Brunei kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormat membabitkan empat pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Sultan Brunei bersama Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan menanam pokok simpor (Dillenia Suffroticosa) di halaman istana, dengan disaksikan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Tunku Azizah, Anwar dan Dr Wan Azizah.

Selepas istiadat itu, kedua-dua pemimpin turut mengadakan pertemuan di Dewan Seri Maharaja yang antara lain menyentuh berkenaan hubungan dua hala yang erat terjalin sekian lama antara Malaysia dan Brunei.

Al-Sultan Abdullah bersama Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara pada Khamis - Foto: Bernama
Al-Sultan Abdullah bersama Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara pada Khamis - Foto: Bernama

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kemudian meraikan pasangan tetamu diraja itu pada Majlis Jamuan Negara.

Sultan Brunei seterusnya dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya petang Khamis dan menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala antara Malaysia-Brunei.

Sebelum mengakhiri lawatannya ke Malaysia pada Jumaat, Sultan Brunei juga dijangka berangkat ke Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh Perdana Menteri di Malaysian Petroleum Club, Menara Berkembar Petronas malam Khamis.

Pada 2019, Al-Sultan Abdullah mengadakan lawatan negara ke Brunei selama tiga hari bertujuan mengukuhkan lagi hubungan diraja antara kedua-dua negara yang terjalin sejak sekian lama.

Brunei merupakan negara pertama yang dikunjungi Al-Sultan Abdullah selepas ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Pada 2022, Brunei merupakan rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM13.22 bilion (AS$2.98 bilion), peningkatan 68.4 peratus berbanding nilai yang dicatatkan pada 2021. -Bernama