Kes OKU rentung, tiada unsur jenayah

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

MANJUNG - Polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah dalam kejadian kebakaran sebuah rumah hingga mengorbankan seorang remaja kurang upaya (OKU) di Kampung Dato Seri Kamaruddin dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, kematian remaja berusia 15 tahun itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Menurutnya, siasatan mendapati ketika kejadian mangsa yang merupakan warga Indonesia berada seorang diri di rumah.

"Mangsa tinggal bersama ibu dan kakaknya, namun semasa kejadian mereka tiada di rumah.

"Berdasarkan rekod, mangsa sakit terlantar sejak kecil dan mempunyai rekod rawatan sawan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, panggilan kejadian itu diterima daripada orang awam pada jam 4.08 petang.

Katanya, operasi menyelamat dan pemadaman dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum menemui mangsa yang telah meninggal dunia.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan," katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa ditemui rentung oleh pasukan penyelamat dalam keadaan terbaring atas katil dalam sebuah bilik ketika operasi dilakukan.