‘Yakin gelombang PRN jauh lebih besar daripada PRU15’ - Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim Tuan Man.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa gelombang pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti jauh lebih besar daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Beliau berkata, ahli UMNO dan Pakatan Harapan (PH) telah sedar bahawa pemimpin mereka ialah pembohong.

“Gelombang besar pada PRU lepas, sebab rakyat inginkan kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah.

“Pemimpin bukan sahaja perlu pandai bercakap, namun mampu melaksanakan tanggungjawab dalam pemerintahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, ahli Pas sentiasa bermunajat dan menjaga hubungan dengan ALLAH khususnya Dewan Ulamak.

“Maka, jagalah hubungan kita dengan ALLAH. Kalau maksiat kita sama dengan maksiat musuh, ALLAH tidak akan tolong kita,” katanya.

Pada 5 Julai lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari pengundian bagi pilihan raya di enam negeri (PRN) akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos.

Menurutnya, ia melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).