Jentera PH-BN tunjuk keserasian - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid merangkap Pengerusi BN bersalaman bersama orang ramai ketika hadir berkempen untuk calon N.31 Bagan Pinang Mohd Najib Mohd Isa di Jalan Pantai, hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid merangkap Pengerusi BN bersalaman bersama orang ramai ketika hadir berkempen untuk calon N.31 Bagan Pinang Mohd Najib Mohd Isa di Jalan Pantai, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Jentera Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menunjukkan kesefahaman dan keserasian yang baik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, jentera parti komited dan melipatgandakan usaha, bagi memastikan kemenangan calon yang diketengahkan kedua-dua gabungan itu.

"Kita melihat secara holistik dan berterima kasih, kerana terdapat kesefahaman dan keserasian di antara BN dan PH, jentera pun saya sebutkan mendukung calon-calon yang dipilih tanpa mengira daripada parti mana.

"Biarpun di peringkat awal mungkin terdapat kekeliruan dari segi lambang, tetapi dalam tempoh kempen ini, kita memberikan pencerahan terhadap isu itu, penting kedua-dua parti gabungan atas semangat Kerajaan Perpaduan, menggerakkan kempen dan menolak propaganda dibuat seteru kita di sebelah sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi sembang santai bersama calon BN bagi DUN Bagan Pinang dan DUN Linggi di sini hari ini.

Sebagai contoh Ahmad Zahid berkata di Negeri Sembilan, Pengerusi UMNO negeri Datuk Seri Jalaludin Alias telah mengkoordinasikan mesyuarat, bagi menyelaras pergerakan jentera di setiap peringkat.

"Kita harus membantu antara satu sama lain dan saya lihat keserasian ini mula tergilap dari persefahaman yang diwujudkan oleh peringkat negeri dan bahagian,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menafikan wujud ketidakharmonian antara parti komponen BN susulan pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kepimpinan MIC esok.

Beliau berkata, ia bukan kali pertama pemimpin nombor satu negara itu bertemu dengan kepimpinan MIC.

"Tidak timbul langsung (ketidakharmonian) kami mengadakan mesyuarat war room wakil MCA dan MIC ada. Mereka telah menggerakkan seluruh jentera di keenam-enam negeri dan jentera MCA dan MIC juga akan membantu calon bagi pilihan raya ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan bahawa penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberikan undi kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN ini, Ahmad Zahid berkata ia hanya propaganda pihak lawan.

"Sebagaimana disebut oleh Nooryana Najwa Najib, Datuk Seri Najib Razak tidak mengiktiraf kumpulan itu, malah beliau memberikan dukungan yang kuat kepada BN dan PH-BN,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang serta Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak, dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos. - Bernama