KBS, Aeon Big perkenal Inisiatif Sukan Rahmah

Hannah (kanan) mendengar penerangan Sheikh Farouk selepas melancarkan Inisiatif Sukan Rahmah di Aeon Big Klang pada Selasa. - Foto Facebook Jabatan Belia dan Sukan Negara
Hannah (kanan) mendengar penerangan Sheikh Farouk selepas melancarkan Inisiatif Sukan Rahmah di Aeon Big Klang pada Selasa. - Foto Facebook Jabatan Belia dan Sukan Negara
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) pada Selasa melancarkan Inisiatif Sukan Rahmah bagi mempromosi dan menyokong aktiviti sukan supaya pelbagai lapisan masyarakat dapat bersukan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pelancaran inisiatif itu bagi meneruskan legasi sahabat baiknya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Sallahuddin Ayub dalam membantu golongan kurang berkemampuan atau B40.

“Inisiatif Sukan Rahmah adalah untuk teruskan legasi dan usaha Allahyarham (Sallahuddin) dalam usaha untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir akibat kos sara hidup.

“Kali ini kita nak pastikan dalam sukan pula, kanak-kanak dan golongan B40 yang mahu bersukan tetapi mungkin ada kekangan kewangan.

“Jadi dengan usaha bersama Aeon Big saya percaya dalam tempoh 10 minggu ini yang nak bersukan berpeluang untuk mendapatkan pakaian dan peralatan yang mampu milik untuk bersama-sama bersukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pelancaran Inisiatif Sukan Rahmah di Aeon Big Klang pada Selasa.

Hadir sama Pengarah Urusan Aeon Big (M) Sdn Bhd, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.

Hannah menjelaskan inisiatif tersebut tidak hanya melibatkan pihak tertentu sahaja, sebaliknya kementerian sentiasa terbuka buat semua pihak bersama-sama menyahut seruan kerajaan itu.

Tambahnya, usaha tersebut sebagai galakkan kepada kanak-kanak untuk bersukan dan tidak diberikan mainan semata-mata.

“Kita menggalakkan semua pihak terutama kanak-kanak jangan kerap beri mainan sahaja, mungkin kita boleh beri peralatan sukan untuk mereka bersukan,” katanya.

Pelancaran Inisiatif Sukan Rahmah itu juga sempena dengan Hari Sukan Negara (HSN) yang akan berlangsung pada 14 Oktober depan.

Dalam pada itu, Sheikh Farouk berkata, Aeon Big amat berbesar hati bekerjasama dengan KBS dalam usaha meneruskan Inisiatif Rahmah melalui amalan sukan dan gaya hidup yang sihat.

“Kami sentiasa menyokong hasrat Kerajaan dalam misi membantu golongan yang memerlukan. Aeon Big menyambut baik insiatif Payung Rahmah cetusan idea Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dan kami ingin memperkembangkan lagi usaha ini ke bidang sukan.

“Aeon Big sentiasa bersedia untuk bergerak bersama bagi memastikan kelangsungan hidup dan keadaan ekonomi serta sosial sentiasa seimbang.

“Sukan pula merupakan salah satu bidang yang amat dekat di hati kebanyakan rakyat Malaysia. Kami amat bersyukur kerana mempunyai peluang untuk mendekatkan lagi ekosistem kami dengan sukan,” ujar Sheikh Farouk.