Pengurusan haji Malaysia terus terima pengiktirafan antara terbaik

Mohd Na'im (dua dari kiri) bersalaman dengan jemaah haji pada Majlis Sambutan Ketibaan penerbangan akhir jemaah haji Malaysia dari Tanah Suci di KLIA Terminal 1, hari ini. - Foto Bernama
Mohd Na'im (dua dari kiri) bersalaman dengan jemaah haji pada Majlis Sambutan Ketibaan penerbangan akhir jemaah haji Malaysia dari Tanah Suci di KLIA Terminal 1, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Pengurusan haji Malaysia tahun ini diiktiraf sekali lagi oleh kerajaan Arab Saudi sebagai antara yang terbaik dan menjadi model pengurusan haji contoh bagi negara-negara Islam dan juga masyarakat antarabangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

"Beberapa rombongan haji negara lain seperti Thailand, Indonesia, Libya dan Turki telah menjemput TH (Lembaga Tabung Haji) untuk mengadakan perbincangan bagi mempelajari daripada pengalaman kita menguruskan operasi haji," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menyambut kepulangan kumpulan akhir jemaah dan petugas haji Malaysia seramai 270 orang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, beliau berkata, pengurusan haji tahun ini berjalan lancar dan berjaya mencapai tiga matlamat utama yang ditetapkan.

Matlamat itu ialah berjaya membawa jemaah haji negara melaksanakan kemuncak haji iaitu berwukuf di Arafah; memastikan keselamatan jemaah semasa pergerakan melibatkan Arafah, Muzdalifah dan Mina; serta memastikan keselesaan bagi jemaah semasa berada di Tanah Suci selama lebih 40 hari, katanya.

"Pengurusan haji yang sistematik ini jelas menunjukan komitmen berterusan kerajaan Malaysia dan TH yang sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesihatan para jemaah haji kita.

"Pelbagai kemudahan dan perkhidmatan telah disediakan kepada para jemaah haji Malaysia agar mereka dapat menyempurnakan urusan haji ke arah mendapat haji yang mabrur," katanya.

Mohd Na'im berkata, jemaah haji Malaysia juga menerima pujian kerana sentiasa mengekalkan disiplin yang baik, berpengetahuan ketika melaksanakan ibadat dan mematuhi segala peraturan yang ditentukan kerajaan Arab Saudi sepanjang berada di Mekah dan Madinah.

Beliau berkata, TH akan mengadakan pascanilai haji dalam masa terdekat untuk meneliti maklum balas yang diterima dari semua sudut operasi dalam usaha memperbaiki perkhidmatan ke tahap yang lebih baik demi menyantuni jemaah haji pada musim akan datang.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata, TH akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengenal pasti dan mencari penyelesaian berhubung jangkitan pneumonia dalam kalangan jemaah Malaysia di Tanah Suci.

Menurutnya, sepanjang musim haji tahun ini, seramai 13 jemaah haji Malaysia berusia lingkungan 49 hingga 78 tahun meninggal dunia antaranya disebabkan pnemonia dan kegagalan jantung.

Dalam perkembangan lain, Mohd Na'im mengesahkan kenyataan yang tular mengenai larangan kekal oleh Arab Saudi terhadap Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, adalah palsu.

Katanya, beliau telah menghubungi Kedutaan Arab Saudi semalam untuk kepastian dan dimaklumkan oleh Timbalan Duta Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur Dr Saleh Ali Ismail Bedaiwi, bahawa kenyataan yang tular itu kenyataan palsu.

Tular di media sosial sejak semalam satu kenyataan kononnya Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilarang memasuki Arab Saudi kerana didakwa mempunyai ideologi pengganas. - Bernama