Pelaksanaan Ekonomi Madani tidak libatkan tambahan perbelanjaan - Rafizi

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Ekonomi Madani tidak akan melibatkan sebarang penambahan perbelanjaan tahun ini, dan masih berdasarkan perbelanjaan kerajaan seperti yang ditetapkan dalam Belanjawan 2023, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, kerajaan akan berbelanja mengikut peruntukan yang diluluskan oleh Parlimen serta berdasarkan perbelanjaan yang ditetapkan dalam belanjawan tahun ini.

"Kita perlu berbelanja mengikut (peruntukan) yang diluluskan oleh Parlimen, kita tidak boleh pandai-pandai berbelanja, ada beberapa cara (yang boleh digunakan),” katanya kepada pemberita pada Persidangan Percukaian Kebangsaan 2023 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, contohnya, kerajaan boleh menyusun semula keutamaan dari segi belanjawan yang telah diluluskan untuk projek atau kementerian tertentu.

"Kita boleh subwaran untuk dibelanjakan, kita boleh beri keutamaan serta alih dan susun balik. Jadi, kerajaan boleh berbelanja lebih dalam bidang yang dirasakan cukup penting untuk merealisasikan Ekonomi Madani tanpa kita melepasi had belanjawan yang ditetapkan,” katanya.

Inisiatif Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai lepas, bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia dan dijangka membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.

Pada 5 April 2023, Persidangan Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) untuk perbelanjaan berjumlah RM388.10 bilion, iaitu RM289.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM99 bilion bagi perbelanjaan pembangunan termasuk RM2 bilion sebagai simpanan luar jangka.

Selain itu, Rafizi berkata kerajaan optimistik bahawa sasaran pengurangan defisit fiskal negara kepada lima peratus mampu dicapai.

Kerajaan menyasarkan defisit fiskal 2023 dikurangkan kepada 5.0 peratus berbanding dengan 5.6 peratus tahun lepas di samping bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025. - Bernama