Pertandingan Seni Hot or Cold 2023 MR DIY tawar RM70,000

KUALA LUMPUR - MR D.I.Y menawarkan hadiah bernilai RM70,000 kepada 31 pemenang terbaik pelbagai kategori dalam Pertandingan Seni MR D.I.Y 2023 bertemakan Hot or Cold.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Adrian Ong berkata, hadiah itu diberikan kepada pelukis yang layak setelah dinilai oleh juri.
Menurutnya, lukisan bertema The Journey No.1 milik seorang guru seni dari Sekolah Islam Bersepadu Shah Alam, Mohd Fizrie Azhan Mohd Torikat, 32, berjaya meraih hadiah tempat pertama sekali gus membawa pulang wang tunai RM15,000.

"Hasil karya itu dipersembahkan menerusi lukisan abstrak yang menggunakan sepenuhnya cat akrilik dengan memfokuskan perjalanan kehidupan metafora.
"Saya juga sangat gembira melihat karya dihasilkan oleh mereka dan apa yang lebih mengagumkan terdapat peserta termuda berusia tujuh tahun turut menyertai pertandingan ini," katanya ketika majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Seni MR D.I.Y, di sini pada Selasa.
Hadir sama, pensyarah seni halus dari Universiti Sains Malaysia (USM), Fauzan Omar; pensyarah seni halus dan sejarah seni dari USM, Safrizal Shahir; pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman, Liong Mei Yin dan Pengarah Urusan Bahagian Penyelesaian Pelanggan Persendirian CIMB Investment Bank Berhad, Bingley Sim.
Tambah Ong, pertandingan dilancarkan pada 9 Mac shingga 7 Jun lalu itu menarik lebih 300 penyertaan dari seluruh Malaysia, termasuk penyertaan daripada pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah.
Sementara itu, Mohd Fizrie bersyukur atas kemenangan beliau dalam pertandingan tersebut dan menganggap melukis adalah satu terapi.

Ujarnya, lukisan itu mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dan melalui pelbagai cabaran emosi sepanjang proses menghasilkannya.
"Sebenarnya, memang lama untuk ia disiapkan iaitu dari 2020 dan sepanjang dalam proses ini telah membuatkan saya mengimbau kembali kenangan lama berkaitan pahit manis kehidupan, terutamanya mengenai perjalanan saya dalam dunia seni.
"Melihat kepada lukisan ini, warna hitam menceritakan tentang keperitan yang saya hadapi dan warna putih melambang ujian dari ALLAH SWT manakala segi tiga merah di bahagian tengah merujuk kepada piramid kebahagiaan iaitu jika mengutamakan ALLAH, maka urusan kita akan dipermudahkan.
"Ini adalah anugerah pertama yang saya terima selepas tamat pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, dalam jurusan Seni Halus pada 2016," ujarnya.
Selain itu, Anugerah Pilihan Hakim dimenangi Arikwibowo Amril, 35, yang berjaya membawa pulang wang tunai RM8,000 manakala Anugerah Pilihan CEO milik Adam bernilai RM6,000 milik Lais Ahmad Shukri, 21, dan Anugerah Pengasas diraih Mohd Faris Ridhwan Che Abdul Malek, 30, bernilai RM4,500.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
