Mane imbas momen bersama Bayern

Mane - Foto Agensi
Mane - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN sensasi, Sadio Mane mengimbas momen bersama Bayern Munich ketika dia semakin hampir menyertai kelab Arab Saudi, Al-Nassr.

Pemain berusia 31 tahun itu berada di Dubai untuk menjalani ujian perubatan sebelum menandatangani kontrak jangka panjang bersama kelab itu hingga tahun 2027.

Mane akan menyertai Al-Nassr dengan perjanjian 34 juta pound (RM196 juta) dan bakal menerima gaji 650,000 pound (RM3.7 juta) seminggu.

Di Al-Nassr, Mane akan bersatu bersama bintang sensasi, Cristiano Ronaldo bagi membentuk jentera serangan yang mantap.

Pemain sayap itu menyertai Bayern dari Liverpool tahun lalu dan biarpun dia memenangi kejuaraan Bundesliga, namun perpindahan itu tidak begitu berjaya seperti dirancang.

"Meninggalkan Bayern melukakan hati saya. Saya lebih suka kalau ia satu penamat yang berlainan. Saya boleh membantu pasukan lebih banyak lagi musim ini.

"Saya mahu membuktikan kepada setiap orang. Bagaimanapun, saya hanya mampu mengucapkan selamat berjaya kepada kelab dan peminat," ujar Mane.

Ketika bersama Bayern, Mane mengalami kecederaan sekali gus menyaksikannya terlepas peluang mewakili Senegal pada Piala Dunia di Qatar akhir tahun lalu.

Malang turut menimpa Mane apabila pada April lalu, dia digantung dan didenda oleh Bayern selepas didakwa menumbuk rakan sepasukan Leroy Sane di bilik persalinan ekoran kekalahan kepada Manchester City.

Ketika bersama Bayern, Mane membuat 38 penampilan dan meledak 12 jaringan serta enam umpanan gol.