Bersatu selesai pertikaian Mohamad Zaidi calon DUN Sungai Air Tawar

Hamzah (tiga dari kiri) bersama Mohamad Zaidi (tiga dari kanan) dan Mohd Fasiah (kanan) pada Program Himpunan Jentera PN DUN Sungai Air Tawar di Markas Tarbiah Pas di Bagan Nakhoda Omar di sini pada malam Isnin.
Hamzah (tiga dari kiri) bersama Mohamad Zaidi (tiga dari kanan) dan Mohd Fasiah (kanan) pada Program Himpunan Jentera PN DUN Sungai Air Tawar di Markas Tarbiah Pas di Bagan Nakhoda Omar di sini pada malam Isnin.
A
A
A

SABAK BERNAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabak Bernam telah menyelesaikan isu pertikaian pemilihan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Mohamad Zaidi Selamat.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, semua permasalahan dibangkitkan Bersatu bahagian itu dapat diselesaikan.

Menurut beliau, sebarang pertikaian seumpama itu dianggap sebagai lumrah dalam sesuatu pilihan raya.

"Isu (pertikaian) sememangnya biasa terutama dalam tempoh sehari dua ini (pilihan raya) dan masalah (dibangkitkan Bersatu Bahagian Sabak Bernam mengenai) calon DUN kawasan ini sudah selesai sepenuhnya," katanya ketika ditemui selepas Program Himpunan Jentera Perikatan Nasional DUN Sungai Air Tawar di Markas Tarbiah Pas di Bagan Nakhoda Omar di sini pada malam Isnin.

Sebelum itu, Hamzah semasa dalam ucapannya berkata, pemilihan Mohamad Zaidi sebagai calon diputuskan oleh pimpinan tertinggi parti.

Jelas beliau, usaha ketika ini adalah memastikan calon PN ditampilkan itu mesti memenangi kerusi berkenaan.

"Perkara paling penting ketika ini adalah memenangkan semua calon PN pada pilihan raya semua negeri.

"Jika Ketua (Bersatu) Bahagian (Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh) dan semua boleh menyokong termasuk Pas, kita yakin PN menang di Selangor ini," jelas beliau.

Sinar Harian pada 27 Julai lalu melaporkan, Bersatu Bahagian Sabak Bernam sebulat suara membantah Mohamad Zaidi sebagai calon DUN Sungai Air Tawar yang disifatkan sebagai calon luar.

Mohd Fasiah dalam kenyataannya berkata, hasil mesyuarat bersama peringkat cawangan Bersatu pada malam Khamis mengambil keputusan menolak pencalonan Mohamad Zaidi.

Sementara itu, Mohamad Zaidi ya g ditemui memaklumkan, dakwaan terbabit tidak tepat kerana beliau anak kelahiran Parit 7, Sungai Leman, Sekinchan yang merupakan salah satu kawasan di daerah Sabak Bernam.