Berita baik buat adik Ainul Mardhiah hidapi kanser 'Germ Cell Tumor'

Bayi Ainul Mardhiah - Foto Facebook Ahmad Safiuddin.
Bayi Ainul Mardhiah - Foto Facebook Ahmad Safiuddin.
A
A
A

"MEREKA (pakar perubatan) di United Kingdom (UK) sudah bersedia untuk merawat Ainul Mardhiah, semoga ALLAH permudahkan".

Demikian kata-kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, bapa kepada bayi Ainul Mardhiah yang menghidap kanser 'Germ Cell Tumor'.

Ainul Mardhiah berusia lapan bulan merupakan anak pasangan Ahmad Safiuddin dan isterinya, Nurul Erwani, 24.

Menerusi hantaran Facebook, Ahmad Safiuddin, berkata, doktor pakar pelatih surgikal kelahiran Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri yang kini berpangkalan di sebuah hospital terkemuka di UK berhasrat untuk membantu Ainul Mardhiah.

“Mereka sudah ready (sedia) di sana dan minta kami buat MRI di sini. Menurut Dr Amalina, pakar-pakar di UK ramai yang nak bantu Ainul.

"Apa pun jalannya, semoga ALLAH permudahkan. Semoga ALLAH ada dalam setiap langkah dan usaha kami," katanya.

Rata-rata netizen menitipkan doa agar urusan merawat bayi itu dipermudahkan sempena bulan penuh barakah.

Seorang netizen, Eida Ahmad berharap pada bulan mulia ini, diangkat semua doa untuk melihat adik Ainul Mardhiah kembali sihat.

"Semoga ALLAH permudahkan urusan keluarganya jua... Amin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam hantaran yang sama, Norzi Ishak, turut bergembira dan bersyukur menerima berita baik itu.

"Alhamdulillah, Ya ALLAH, berita yang sangat gembira di bulan Ramadhan ini... Semoga dipermudahkan... Kami sentiasa berdoa untuk kesembuhan Ainul...," ujarnya.

Sementara itu, menerusi media tempatan, bayi itu dilahirkan ketika usia kandungan Nurul Erwani tujuh bulan dan lahir dalam keadaan sudah menghidap kanser itu.

Ainul Mardhiah yang dirawat di Hospital Melaka (HM) sebelum ini sudah stabil lalu dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulut ketika berusia 10 hari.

Bagaimanapun pada Oktober lalu, mereka dimaklumkan ada ketumbuhan baharu di bahagian leher bayi itu sebelum disarankan menjalani kemoterapi pada Disember lalu.

Sebelum ini, rakaman video Ainul Mardhiah yang mengalami ketumbuhan seberat 1.2 kilogram pada bahagian mulut, tular dalam laman sosial.