Tergamak tinggal rakan bersama barang terlarang bernilai RM400,000

Iskandar (dua dari kiri) menunjukkan bungkusan teh Cina berwarna merah yang dirampas ketika sidang akhbar di Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, di Kuala Linggi di sini, pada Isnin.
Iskandar (dua dari kiri) menunjukkan bungkusan teh Cina berwarna merah yang dirampas ketika sidang akhbar di Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, di Kuala Linggi di sini, pada Isnin.
A
A
A

ALOR GAJAH - Empat ahli sindiket penyeludupan dadah sanggup meninggalkan rakannya bersama barang terlarang bernilai RM400,000 bagi mengelak dicekup dalam serbuan di perairan Tanjung Kling, pada Jumaat lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan (Maritim Malaysia), Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, serbuan jam 2.30 pagi itu, berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 10 kilogram dan menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun yang sedang menunggu untuk memunggah dadah ke dalam bot.

Menurutnya, ketika anggota Maritim melakukan rondaan Op Murni, pihaknya mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, menyedari kehadiran penguat kuasa sindiket itu memecut laju dan meninggalkan suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri bersama sebuah beg pakaian berwarna merah dan hitam berisi ketulan mampat dadah.

Iskandar menunjukkan lokasi penahanan dan rampasan dadah dilakukan di Perairan Tanjung Kling Pantau Kundor pada Jumaat lalu.
Iskandar menunjukkan lokasi penahanan dan rampasan dadah dilakukan di Perairan Tanjung Kling Pantau Kundor pada Jumaat lalu.

"Suspek ditahan pada kedudukan lebih kurang 0.12 batu nautika Barat Daya Pantai Kundor.

"Turut dirampas beg pakaian mengandungi tujuh bungkusan teh cina berwarna merah, tiga berwarna putih disyaki dadah jenis syabu," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, di Kuala Linggi di sini, pada Isnin.

Tambahnya, bekalan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk ke negara ini sebelum diseludup keluar ke negara jiran Indonesia untuk dibekalkan kepada lebih 20,000 penagih.

Ujarnya, siasatan masih dijalankan dan tidak menolak kemungkinan dadah itu diseludup ke negara lain dengan menjadikan Malaysia dan Indonesia sebagai transit.

"Suspek yang ditahan direman selama 14 hari bermula 28 Julai lalu hingga 10 Ogos depan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dah Berbahaya 1953 dan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1963," katanya lagi.