Biar lawan lebih kuat

Skuad Harimau Malaya dijadualkan menghadapi dua aksi persahabatan di luar negara pada September depan. - Foto FB FAM
Skuad Harimau Malaya dijadualkan menghadapi dua aksi persahabatan di luar negara pada September depan. - Foto FB FAM
A
A
A

MALAYSIA perlu mencari pasukan yang berada di ranking lebih baik daripada Oman dan Kyrgyzstan sebagai lawan dalam aksi persahabatan sebelum mengharungi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November depan.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, ia ukuran yang sesuai untuk melihat sejauh mana kemampuan skuad Harimau Malaya apabila berdepan pasukan yang lebih ampuh dalam mencari kekuatan dan kelemahan sedia ada.

“Saya berpandangan, pasukan dari benua manapun tidak kisah asalkan pasukan itu lebih kuat daripada Oman dan Kyrgyzstan untuk membolehkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon mendapat gambaran yang sebenar.

“Sebelum ini, ada cakap-cakap yang mengatakan dua negara iaitu Mesir dan China akan jadi lawan skuad Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan akan datang.

“Jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berjaya merealisasikannya, saya rasa Mesir dan China akan menjadi pasukan lawan yang cukup baik buat Harimau Malaya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Selepas majlis undian Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Khamis lalu, Pan-gon mengakui sudah mendapat gambaran jelas pasukan yang akan ditentang anak-anak buahnya dalam aksi persahabatan September depan.

Untuk rekod, Oman kini berada di tangga ke-73 dunia dan Kyrgyzstan di kedudukan ke-97, manakala Taiwan (153) dan Timor Leste (192). Malaysia pula berada di tangga ke-137 dunia.

Sebelum ini, FAM dilaporkan sedang berunding dengan Mesir yang berada di ranking ke-34 dunia dan China (80) untuk menjadi lawan Harimau Malaya pada aksi persahabatan di luar negara nanti.

Selepas aksi persahabatan antarabangsa pada September, Harimau Malaya akan mengharungi Pestabola Merdeka dalam pertembungan empat penjuru menentang Palestin, Lubnan dan India.

Mengenai peluang Malaysia pada pusingan kedua kelayakan itu, Azlan tidak mahu anak-anak buah Pan-gon berasa selamat walaupun tidak diundi berdepan gergasi Asia seperti Jepun dan Korea Selatan.

“Atas kertas memang nampak peluang untuk kita layak ke peringkat seterusnya (pusingan ketiga), namun pemain-pemain negara harus ingat perlawanan sebenar ini sukar untuk dijangka.

“Pasukan dari Asia Tengah seperti Oman dan Kyrgyzstan ini berkemungkinan besar mempunyai pemain yang beraksi di Eropah dan ada kualiti berbeza, jadi mereka ada kelebihan berbanding kita,” ujarnya.