Calon BN DUN Seri Menanti fokus kesesakan jalan Kuala Pilah

Muhammad Sufian
Muhammad Sufian
A
A
A

KUALA PILAH - Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi mahu memberi fokus terhadap isu kesesakan jalan raya yang sering dibangkitkan oleh masyarakat terutamanya di media sosial.

Katanya, perkara ini sudah lama berlaku dan mungkin perlukan sedikit fokus bersama dengan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dalam menyelesaikan masalah tersebut.

"Insya-ALLAH sekiranya saya dipilih sebagai wakil untuk rakyat Seri Menanti ini... fokus saya ada empat, pertama berkenaan dengan kesesakan lalu lintas di laluan utama bermula dari Ulu Bendul sampailah ke Pekan Tanjong Ipoh.

"Kalau balik ke rumah masing- masing dari Pilah nak ke Seremban sampai ke Ulu Bendul itu kadang-kadang sampai makan masa dua hingga tiga jam, jadi ia memerlukan satu gerak kerja yang tersusun (penyelesaian) kerana melibatkan satu kos yang sangat besar sebenarnya," katanya ketika ditemui pemberita di Gunung Pasir, Seri Menanti pada Sabtu.

Muhammad Sufian berkata, pihaknya bersama agensi kerajaan dan berkaitan sudah mengambil maklum mengenainya dengan mengambil kira pelbagai aspek, justeru ia akan menjadi fokus pertama nanti.

"Keduanya, saya mahu menjadikan DUN Seri Menanti ini sebagai satu tempat lawatan selaras dengan gelarannya sebagai Bandar Diraja, selain adanya muzium, kawasan padi bermula dari Ulu Bendul sampailah sebelum Tanjong Ipoh merupakan kawasan sawah padi dan kedai-kedai yang menawarkan pelbagai makanan asli orang Negeri Sembilan.

"Selain itu, soal pendidikan juga menjadi fokus saya kerana apabila mereka (anak-anak) dah belajar ke peringkat lebih tinggi dan balik berkhidmat dapat memberikan idea untuk kawasan di sini.

"Kita bukannya mahukan Seri Menanti ini seperti bandar yang berhampiran dengan Kuala Lumpur ataupun kita nak jadikan sebagai satu bandar yang besar... tidak... kita nak jadikannya sebagai satu kampung tradisi tetapi mempunyai nilai nilai yang sangat hebat dari segi kemasyarakatannya. Itu hasrat saya," katanya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya juga akan memperhebatkan lagi ikatan silaturahim antara masyarakat DUN Seri Menanti ini.

"Bukannya kita tak rapat sebelum ini tetapi kita nak menambah nilai hubungan silaturahim supaya kita memahami dan sering ambil tahu kehidupan masyarakat sekeliling kita.

"Apabila prihatin insya-ALLAH sekurang-kurangnya kita dapat menyelesaikan masalah kecil yang berada dalam keliling kehidupan kita ini dan setidak- tidaknya dapat beri kerjasama kepada wakil atau agensi kerajaan," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!