Tiada lagu baharu iringi kempen di Lembah Jaya - Altimet

Altimet - Foto Bernama
Altimet - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyanyi rap terkenal, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata beliau tidak akan menghasilkan lagu baharu bagi mengiringi kempennya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos ini.

Altimet yang menjadi calon Pakatan Harapan (PH) bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya sebelum ini pernah menghasilkan lagu berjudul Aduh Malaysia, yang digunakan pemimpin serta penyokong PH sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Mungkin kita keluarkan lagu lain yang tiada kena mengena hari ini (pilihan raya),” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Dato Ahmad Razali, Ampang di sini pada Sabtu.

Ketua Cabang PKR Ampang itu berdepan pertandingan satu lawan satu dengan calon Perikatan Nasional (PN), Sharifah Haslizah Syed Ariffin yang juga Exco Dewan Muslimat Pas Selangor.

Altimet, 44, berkata, beliau mahu menjadikan Lembah Jaya sebagai kawasan yang mesra didiami segenap lapisan masyarakat, selain membantu penduduk mendapatkan insentif serta bantuan ditawarkan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Sharifah Haslizah yang mesra dipanggil Cikgu Sharifah menyatakan tidak gentar berdepan Altimet di kerusi yang boleh dianggap kubu kuat PKR itu.

Katanya, beliau sudah biasa dengan masyarakat Lembah Jaya memandangkan pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 2013 dan sering melakukan kerja-kerja kebajikan di situ.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Haniza Talha yang mewakili PKR menang dengan majoriti 14,790 undi mengatasi Muhamad Nizam daripada Barisan Nasional (BN), Khasim Abdul Aziz (Pas) dan Norizwan Mohamed (PRM).

Sementara itu, kerusi DUN Bukit Antarabangsa menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan calon paling muda berusia 23 tahun iaitu Melanie Ting mewakili parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang berdepan calon PN, Sasha Lyna Abdul Latif dan Mohd Kamri Kamaruddin (PH).

Melanie berkata, meskipun mewakili golongan muda, beliau berjanji memberikan khidmat untuk semua lapisan masyarakat sementara Mohd Kamri yang juga bekas jurutera di sebuah syarikat telekomunikasi akan menjadikan isu alam sekitar yang sering menjadi tumpuan di Bukit Antarabangsa sebagai fokus utama kempennya.

Pada PRU14, kerusi DUN Bukit Antarabangsa dimenangi bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang ketika itu mewakili PKR dengan majoriti 25,512 undi menumpaskan Salwa Yunus (BN), Sharifah Haslizah (Pas), Ahmad Kamarudin (PRM) dan calon Bebas, Azwan Ali.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri, Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut meluangkan masa beramah mesra dengan penyokong PH dan BN di luar pekarangan Dewan Dato Ahmad Razali sebelum pengumuman calon dibuat. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!