PRN Terengganu didominasi lelaki, hanya 2 calon wanita

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu terus didominasi oleh lelaki dengan 97 peratus adalah calon jantina itu, manakala hanya tiga peratus adalah wanita.

Semakan di portal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati daripada 68 calon termasuk calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P0.36 Kuala Terengganu, hanya dua calon wanita dipertaruhkan di negeri itu.

Eka Lisut daripada Pakatan Harapan (PH) dicalonkan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.022 Manir sementara Ketua Pengarah Ameerah Malaysia, Zuraida Md Noor mewakili Pas di DUN N.015 Ladang.

Kali terakhir Pas mempertaruhkan calon wanita adalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menerusi DUN Kuala Besut.

Napisah Ismail yang bertanding atas tiket Pas bagaimanapun kalah di tangan lawannya, Dr A Rahman Mokhthar daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,434 undi.

Allahyarham Rahman yang meninggal dunia pada Jun 2013 mendapat 8,809 undi manakala Napisah mendapat 6,375 undi.

Sementara itu, 31 DUN Terengganu menyaksikan pertembungan sengit 'satu lawan satu'.

Hanya dua DUN iaitu DUN N,014 Bandar dan N.04 Hulu Besut menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Selain calon parti tradisi daripada BN dan Pas, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletakkan calon tunggalnya di Terengganu di DUN Bandar.

Muda menampilkan Ketua Penerangannya, Luqman Long, 30, bagi menentang penyandang, Ahmad Shah Mohamed, 55, dari Pas.

BN pula mempertaruhkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd, 43.

Sementara DUN Hulu Besut pula menyaksikan pertembungan antara Datuk Nawi Mohamad (BN), Mie Che Hussin (Pas) dan calon tunggal Bebas di negeri itu, Che Harun Kamariah. - Awani

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!