10 calon Bebas cuba nasib di PRN Negeri Sembilan

Mohamad Rafie, Bujang Abu, Mohammed Hafiz, Mohammad Syakir
Mohamad Rafie, Bujang Abu, Mohammed Hafiz, Mohammad Syakir
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Pilihan Raya Negeri (PRN) di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) Negeri Sembilan menyaksikan seramai 10 individu menawarkan diri sebagai calon Bebas.

Ia berdasarkan maklumat senarai calon yang dikeluarkan di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) pada Sabtu.

Paling mencuri tumpuan semestinya calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan iaitu penyandang kerusi berkenaan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek yang berdepan dua pencabar daripada calon Pakatan Harapan (PH), Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan Muhammad Ghazali Zainal daripada Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, dua calon Bebas mencuba nasib menentang bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di DUN Sikamat dalam pertembungan empat penjuru.

Mereka ialah, Bujang Abu dan Mohammed Hafiz atau Tok Merah yang merupakan Pengerusi Proklamasi Orang Melayu Negeri Sembilan manakala calon dari PN ialah Ahmad Raihan Muhamad.

Selain itu, di DUN Nilai, J Arul Kumar yang merupakan setiausaha Politik Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew bukan sahaja berdepan cabaran dengan calon PN iaitu Gan Chee Biow malah dua lagi calon Bebas iaitu Omar Mohd Isa dan Yessu.

Seorang lagi calon Bebas turut diumumkan bertanding di DUN Klawang, Kepayang, Mambau, Lenggeng dan Paroi.

Kesemua kerusi berkenaan menyaksikan pertembungan tiga penjuru dengan calon PH dan PN.

Mereka masing-masing ialah Angah Saiful, Ahmad Zamali Mohamad, R Kumavarel, Zul Azki Mat Sulop dan Muhammad Syakir Fitri Sadri.

Muhammad Syakir merupakan bekas Pegawai Khas Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Ab Ghani.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!