Alor Mengkudu jadi rebutan Mahfuz, Radhi

Mahfuz (tiga dari kanan) dan Radhi (tiga dari kiri) bersama calon Suka Menanti dan Kota Darulaman mengangkat tangan beramai-ramai selepas diumumkan sebagai calon di Pusat Penamaan Calon DUN di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah, di Alor Setar, pada Sabtu.
Mahfuz (tiga dari kanan) dan Radhi (tiga dari kiri) bersama calon Suka Menanti dan Kota Darulaman mengangkat tangan beramai-ramai selepas diumumkan sebagai calon di Pusat Penamaan Calon DUN di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah, di Alor Setar, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Mahfuz Omar tekad mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu disandang Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah.

Kerusi DUN Alor Mengkudu yang menjadi rebutan antara Mahfuz dan legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din (Pas) sebelum ini adalah kubu kuat Pas sebelum dirampas Amanah pada 2018.

Mahfuz berkata, sebelum ini, DUN Alor Mengkudu dimenangi Amanah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menewaskan calon Pas.

Menurut Naib Presiden Amanah itu, beliau yakin dengan sokongan pengundi terhadap Amanah, sekali gus mampu mempertahankan kerusi dimenangi sebelum ini.

"Bukan satu benda yang mudah untuk kita meraih kemenangan pada kali ini dengan politik yang berbeza antara 2018 (PRU14) dengan 2023," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau ditemui selepas Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon DUN di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah, di sini.

Beliau turut melahirkan kepercayaan bahawa dukungan dan sokongan Barisan Nasional (BN) mampu membantu dirinya meraih dan mempertahankan kemenangan di kerusi DUN Alor Mengkudu pada 12 Ogos depan.

Pada PRN Kedah, Mahfuz akan bertembung sekali lagi dengan Radhi di Dun Alor Mengkudu selepas bertemu buat kali pertama pada PRU14 lepas.

Sementara itu, Radhi memberitahu, beliau menyifatkan pertembungan kali kedua dengan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena di Alor Mengkudu selepas bertanding pada Parlimen Pokok Sena pada 2018 merupakan perkara biasa.

Radhi berkata, beliau juga yakin sokongan penduduk DUN Alor Mengkudu ketika ini telah beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

"Alhamdulillah, dengan suasana gelombang yang ada pada hari ini dan kita amat yakin bahawa PN akan menang di sini (Alor Mengkudu)," katanya.

Ketika diminta mengulas sama ada beliau ingin menebus kekalahannya ketika bertanding di Parlimen Pokok Sena, beliau berkata, pilihan raya merupakan satu pertandingan dan kalah menang merupakan adat biasa dalam pilihan raya.

"Insya-ALLAH, kita bukan nak menyalahkan siapa-siapa tapi atas keyakinan kita bahawa PN hari ini, saya rasa (kini) era PN dan gelombang kepada PN dan kita yakin.

"Insya-ALLAH, atas keyakinan (gelombang PN) itulah kita yakin bahawa PN (menang) di Alor Mengkudu dan menawan Kedah kembali," katanya.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan legenda bola sepak Kedah sekali lagi mencabar Mahfuz pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada 12 Ogos depan.

Bagaimanapun, kali ini bekas kapten pasukan bola sepak Kedah itu menentang Mahfuz di kerusi DUN Alor Mengkudu selepas tewas di Parlimen Pokok Sena pada 2018.

Sebelum itu, Radhi dan Mahfuz diumumkan sebagai calon di Pusat Penamaan Calon DUN di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah, di sini, pada Sabtu.

Selain mereka berdua, calon PN, Chuan See Seng (Gerakan) dan penyandang DUN Kota Darul Aman, Teh Swee Leong (DAP) diumumkan sebagai calon Kota Darul Aman di pusat penamaan calon sama.

Selain itu, Ketua Bahagian Bersatu Alor Setar, Dzowahir Ab Ghani (Bersatu) turut diumumkan menentang penyandang DUN Suka Menanti, Datuk Zamri Yusuf bagi merebut kerusi DUN Suka Menanti.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!